Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan perlu menawarkan diri untuk menjadi pusat penyelarasan diaspora Palestin, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, pusat tersebut perlu di wujudkan bagi menghimpunkan maklumat dan data serta mengukur keupayaan dan kelebihan rakyat Palestin bagi merangka persiapan masa hadapan.

“Rakyat Palestin terkenal dengan kepintaran intelektual mereka. (Contohnya) Sarjana ekonomi terkemuka di Amerika Mohamad Aryan ini (orang) Palestin.

“Saya nak mengesyorkan bahawa harus ada program khusus untuk pemerintah untuk membawa the best brain di kalangan rakyat Palestin.

“Bawa ke sini mengajar di universiti, bertugas di hospital, menjadi penasihat dan sebagainya.

“Ini dalam batas keupayaan pemerintah, bukan NGO,” kata Saifuddin dalam forum khas Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.
Himpunan setiakawan dengan rakyat Palestin dan protes terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baru Israel turut diadakan di masjid itu hari ini.

Sementara itu, Saifuddin turut menyarankan kerajaan menggunakan institut diplomasi yang diwujudkan untuk membantu rakyat Afghanistan dan Bosnia Herzegovina sebelum ini.

Saifuddin berkata, walaupun pendirian dan parti politik berbeza, isu mempertahankan umat Islam harus mempunyai titik pertemuan.

“Kalau ada satu isu yang boleh kita berpijak di satu platform sama, ia tidak lain tidak bukan isu Palestin dan perjuangan pembebasan Baitulmuqaddis,” katanya.

Antara ahli politik yang dilihat hadir adalah pemimpin Umno seperti Datuk Seri Sahidan Kassim, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Puad Zarkashi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan resolusi Malaysia berhubung isu itu dalam ucapannya selepas sembahyang Jumaat nanti.

Lihat Komen
ADS