Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Biar badan dikerat, daging tinggal seketul Najib tak berganjak

Membuktikan keberanian dan kesungguhannya demi bumi Palestin, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak akan berganjak daripada pendirian yang ada sekarang.

Berucap dengan nada yang berapi-api di Masjid Putra, Putrajaya Najib berkata tiada apa yang dapat mengubah pendirian berkenaan.

“Kita tak akan berganjak, buat apa sekali pun kita tak akan berganjak.

“Macam khutbah mufti tadi di dalam (masjid), kalau dikerat beberapa kali badan saya pun, walau tinggal seketul daging sekali pun saya masih mempertahankan prinsip ini,” kata Najib disambut laungan takbir.

Untuk rekod, khutbah Jumaat hari ini disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad. Isi khutbah yang disampaikan beliau berkisar mengenai nasib umat Palestin serta Baitulmuqaddis.

Najib sebentar tadi mengetuai himpunan menyatakan sokongan terhadap Palestin dan membantah tindakan Rumah Putih mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel awal bulan ini.

Dianggarkan kira-kira seribu orang menyertai himpunan menunjukkan kebersamaan rakyat di negara ini dengan Palestin.

Himpunan itu juga sepatutnya menampilkan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun Abdul Hadi hari ini menyampaikan khutbah di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.

Anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil yang juga ketua Pemuda PAS hadir mewakili beliau.

Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis pada 6 Dis lalu dan sekali gus merasmikan pendirian Rumah Putih mengiktiraf bandar berkenaan sebagai ibu negara Israel.

Palestin pula bercadang menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara mereka suatu hari nanti. Baitulmuqaddis Timur asalnya diletakkan di bawah kendalian tentera antarabangsa namun dijajah rejim Zionis melalui Perang Enam Hari pada 1967.

Lepas ini ada himpunan lagi

Ia menempatkan masjid ketiga paling suci dalam Islam dan kiblat pertama Muslim, iaitu Masjid al-Aqsa.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) awal pagi tadi (waktu Malaysia) meluluskan usul mengutuk Washington atas tindakan diarahkan Trump itu.

Usul berkenaan turut disokong semua empat negara kuasa besar dunia dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Russia, Perancis, China dan Britain.

Mengulas lanjut Najib berkata beliau telah mewajibkan tiga perkara dalam pendirian Malaysia di Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Saya katakan bahawa pendirian kita tegas dan konsisten menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat.

“Kita juga kata bahawa negara Palestin yang berdaulat mestilah kembali kepada sempadanan pada 1947.

“Kita tidak mahu Palestin yang semakin menguncup (mengecil) kerana itu bukan Palestin yang kita tuntut. Kita tuntut Palestin yang berdaulat lagi bermaruah.

"Dan saya kata lagi bahawa kita mahu Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin. Tiga perkara ini kita tak akan berganjak,” tegas Najib.

Dalam pada itu, Najib juga menyatakan beliau juga menyimpan hasrat untuk menunaikan solat di bumi Palestin itu.

Namun, tegas Najib beliau yakin hajat itu tidak akan mendapatkan izin daripada kerajaan Israel.

“Saya juga mimpi satu hari nanti nak melakukan solat di al-Aqsa.

“Hari ini kalau nak sembahyang (di al-Aqsa) kena minta izin Israel. Ada waktu mereka tak bagi orang muda sembahyang, ada kalanya mereka yang umur 50 tahun ke atas sahaja boleh sembahyang. Bayangkan bagaimana mereka hina (orang Islam).

“Tapi saya tak mahu pergi dekat sana minta keizinan daripada Zionis,” kata Najib.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bahawa akan ada himpunan solidariti buat Palestin pada minggu ketiga setiap bulan sehingga bumi Palestin bebas daripada cengkaman Israel.

“Kita bukan saja (buat) di Putrajaya tapi kita akan buat di setiap masjid seluruh negara, dan perjuangkan isu ini menggunakan pelbagai saluran (termasuk) diplomatik, doa dan sembahyang hajat," katanya.

 

 

Lihat Komen
ADS