Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS nafi Hadi mahu kabinet Melayu saja
Diterbitkan:  Dec 26, 2017 5:04 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

PAS menafikan yang presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hanya pemimpin Melayu dan beragama Islam boleh menjadi menteri di Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata, kenyataan Hadi yang disiarkan Harakahdaily 22 Disember lalu telah dilaporkan secara salah oleh beberapa agensi berita.

Nasrudin merujuk laporan sebuah akhbar bertajuk "PAS president: All-Malay cabinet members for Malaysia" (Presiden PAS: Anggota Kabinet Melayu untuk Malaysia), dengan perenggan pertama mendakwa Hadi berkata perkara itu memandangkan Melayu adalah majoriti di negara ini.

"Tiada satu ayat dan huraian pun yang dibuat Hadi dalam artikelnya menyatakan semua anggota kabinet mestilah terdiri daripada orang Melayu Muslim.

"Sebaliknya PAS menegaskan kepentingan dan keperluan untuk orang Melayu-Islam menjadi teras dalam sistem politik dan struktur pentadbiran negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan yang menjadi pertikaian itu, Hadi berkata "Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang berakidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh."

Hadi berkata, kepimpinan utama yang berkaitan dengan dasar mestilah daripada orang Islam, manakala orang bukan Islam diterima untuk mengendalikan soal berkaitan kepakaran dan pengurusan.

Tetapi katanya lagi, Islam turut memberi hak yang lebih besar kepada orang bukan Islam dalam politik dan ekonomi, berbanding ideologi lain.

Bukan semua kementerian

Nasrudin berkata, kenyataan Hadi berkaitan "ketua negara dan anggota kabinet berakidah Islam daripada bangsa paling berpengaruh" tidak bermaksud untuk semua kementerian, tetapi merujuk kementerian tertentu sahaja.

"Ia berdasarkan kaedah pembahagian kementerian iaitu wizarah al-tafwidh (berkaitan merangka dasar) dan wizarah al-tanfiz (berkaitan pelaksanaan dan pengurusan).

"Di sini jelas mesej penting oleh Hadi adalah Islam sangat terbuka dengan orang bukan Islam sebagai menteri wizarah al-tanfiz, berbanding sistem politik lain yang menerima mereka yang berideologi sama sahaja," katanya yang juga anggota parlimen Temerloh.

Justeru beliau berharap tiada pihak yang cuba mencetuskan salah faham berhubung pendirian PAS tentang isu ini, memandangkan parti itu memahami realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

Lihat Komen
ADS