Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Alumni 'tak senang' logo BN di poster kumpul dana sekolah Cina

Logo BN yang muncul pada bahan promosi untuk acara walkathon untuk mengumpul dana sebuah sekolah independen Cina telah mencetuskan kontroversi di kalangan alumni sekolah berkenaan.

Acara walkathon "We Love Foon Yew, JB Tetap JB" untuk Sekolah Tinggi Foon Yew yang dijadualkan pada Januari tahun depan, bertujuan mengumpul dana untuk pembangunan kampus ketiganya di Bandar Seri Alam.

Selain logo Sekolah Tinggi Foon Yew, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Persatuan Hua Tiong Johor Bahru, logo BN juga muncul pada bahan promosi untuk acara tersebut.

Poster itu, yang tular di media sosial, menimbulkan rasa tidak senang sebahagian alumni sekolah iu, yang memulakan hashtag "Students of Foon Yew say no to BN"

Ketika dihubungi, Tong Sing Chuan, yang mengetuai lembaga pengarah sekolah itu, berkata acara itu dianjurkan bersama oleh pejabat parlimen Johor Bahru.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan merasmikan acara walkathon itu bulan depan.

Tong berkata Shahrir telah membantu sekolah itu dengan permohonannya untuk menubuhkan kampus Bandar Seri Alam.

"Sekarang kita sedang dalam proses mendapatkan sumbangan... Kami gembira jika ada yang berjanji untuk menderma untuk pendidikan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Tong juga ditanya mengenai kritikan daripada bekas pelajar terhadap kehadiran logo BN itu.

"Mengenai politik, saya tidak mahu memberi komen, saya tidak mengambil bahagian dalam politik, mereka mempunyai hak untuk memberi komen," katanya.

Seorang alumni sekolah itu, Jeffrey Chung berkata dia kecewa berkaitan logo BN itu dan bertegas sekolah itu menjauhkan diri daripada politik parti.

"Saya tidak faham, apakah peranan parti politik dalam aktiviti ini?" katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, ianya munasabah bagi pihak sekolah itu bekerjasama dengan majlis bandaraya, tetapi dia mengangap membabitkan parti politik sebagai 'berlebihan'.

Seorang lagi bekas pelajar, Oun Hong Liang, berkata sekolah itu tidak sepatutnya membenarkan logo parti muncul pada bahan promosinya.

"Tidak kira sama ada Pakatan Harapan atau BN, parti politik perlu jauhi sekolah," katanya.

Seorang lagi alumni sekolah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, berkata sekolah itu sebelum ini tidak membenarkan diadakan acara yang berkaitan dengan politik.

Katanya, sebelum ini, parti-parti politik tidak pernah membantu sekolah itu, atau mengiktiraf status Unified Examination Certificate (Sijil Peperiksaan Bersepadu) bagi mereka yang menamatkan pengajian di sekolah independen Cina.

"Sekolah Tinggi Foon Yew adalah hasil pengumpulan dana oleh kita semua...," katanya sambil menambah seseorang melakukannya (sekarang) sebagai 'gula-gula' menjelang pilihan raya umum.

Kumpul dana kampus baru

Menurut laporan Sin Chew Jit Poh, jawatankuasa penganjur walkathon itu yang mengadakan sidang akhbar pada 9 Disember, mengumumkan bahawa acara walkathon sejauh 5Km itu akan diadakan pada 13 Januari 2018.

Pengerusi penganjur acara itu Kuan Poh Huat, yang juga ahli Majlis MBJB, berkata walkathon itu bukan sahaja untuk menggalakkan kesedaran kesihatan, tetapi jua untuk mengumpul dana bagi kampus baru Sekolah Tinggi Foon Yew, yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM80 juta.

Laporan itu berkata pelannya telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang, dan kerja awal dijangka bermula pada Januari tahun depan, dengan sasaran disiapkan pada 2021.

Pihak lembaganya telah mengumpulkan RM15 juta setakat ini, dan memerlukan kira-kira RM50 juta untuk fasa 1 dan 2.

Sejurus sebelum pilihan raya umum lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kelulusan kampus ketiga Sekolah Tinggi Foon Yew di Bandar Seri Alam sebagai "hadiah khas".

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan hanya menghantar surat kelulusan kepada pihak sekolah itu lebih tiga tahun kemudian.

Menurut The Star, MCA menyumbang RM1 juta untuk pembangunan kampus ketiga itu pada tahun 2016.

Sekolah Tinggi Foon Yew, sebuah sekolah Cina yang terkenal, mempunyai kampus utama di Johor Bahru, dan yang kedua di Kulai.


[Baca berita asal/penuh]

Lihat Komen
ADS