Sebuah parti berpangkalan di Pulau Pinang mendakwa ketua menteri negeri itu meminggirkan perayaan kaum Cina sejak membentuk kerajaan pada 2008.
Pengerusi Penang Front Party (PFP) Datuk Patrick Ooi berkata antara perayaan yang diabaikan Lim Guan Eng ialah Pesta Cingge.
Ooi mendakwa sikap itu boleh menyebabkan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Cina terhakis.
Memetik kenyataan Ooi, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Keluarga Ooi dan Chan bersimpati terhadap Majlis Kaum Cina Pulau Pinang (PCCC) kerana tidak mendapat sokongan kerajaan negeri untuk menganjurkan Perayaan Tahun Baru Cina.
“Ketika Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menjadi ketua menteri dulu, beliau pernah menganjurkan perayaan Chap Goh Meh pada hari ke-15 Tahun Baru Cina yang dihadiri sehingga 30,000 orang.
“Namun dibawah pentadbiran Lim, tarikh perayaan itu diubah kepada hari ke-14 menyebabkan jumlah kehadiran pengunjung merosot mendadak,” kata Ooi.
Ooi juga berkata beliau bersimpati dengan Pengerusi PCCC Dr Chang Wei Lu yang menghadapi pelbagai tekanan daripada kerajaan Pulau Pinang.
PFP ialah sebuah parti Cina yang didakwa mesra BN dan ditubuhkan untuk mencabar DAP dalam pilihan raya umum akan datang.
Laporan NST pada Okt 2016 menyatakan parti itu akan meletakkan calon di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tetapi bukan di kawasan yang diwakili Umno.
Keanggotaan parti itu pada tahun lalu dikatakan seramai 100 orang.
