Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mengapa DUN lebih besar dari Parlimen, soal pengundi

Seorang pengundi di Subang Jaya mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meluaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ, walaupun kawasan DUN itu sudah pun mempunyai jumlah pengundi yang lebih ramai berbanding kawasan Parlimen di Selangor.

Theresa Ratnam berkata beliau membangkitkan perkara itu ketika menghadiri inkuiri awam hari ini dan membantah cadangan SPR untuk kawasan Parlimen Kelana Jaya dan kawasan DUN Subang Jaya yang terletak di dalamnya.

Pada masa ini, DUN Subang Jaya mempunyai 62,687 pengundi manakala Parlimen Kelana Jaya 101,603 pengundi.

Selepas persempadanan semula, Subang Jaya akan mempunyai 66,059 pengundi dan Parlimen Kelana Jaya akan dinamakan semula sebagai "Subang" dengan 128,330 pengundi. Parlimen Subang yang sedia wujud akan ditukar nama kepada "Sungai Buloh".

"Lihat aspek pentadbiran, penguatkuasaan dan isu sosial. Bagaimana seorang ADUN atau anggota parlimen mampu memantau seluruh kawasannya (yang begitu besar)?

"Maka SPR perlu menilai semula cadangan mereka. Berbanding membesarkan (kawasan), SPR perlu lihat sama ada kawasan (DUN atau Parlimen) boleh dikecilkan," kata Theresa kepada pemberita selepas menghadiri inkuiri awam itu.

"N31 (DUN Subang Jaya) akan menjadi lebih besar daripada P092 (Parlimen Sabak Bernam) dan P093 (Parlimen Sungai Besar).

"Macam mana ia boleh berlaku? Tiada hujah yang menyokongnya," katanya yang bekerja sebagai perunding pengurusan.

Parlimen Sabak Bernam dan Sungai Besar pula akan mempunyai 37,126 dan 42,833 pengundi selepas persempadanan semula.

Pemisahan mengikut kaum

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Ampang Nallan Dhanabalan berkata, PKR Ampang telah membuat bantahan pagi ini atas asas cadangan SPR akan menjejaskan keharmonian kaum di kawasan tersebut.

Katanya, ia melalui pemindahan daerah mengundi Tasik Permai dari Parlimen Ampang ke Parlimen Pandan.

Daerah mengundi Kampung Baru Ampang Pertama dan Kampung Baru Ampang Kedua pula akan diletakkan di bawah DUN Bukit Antarabangsa, dari DUN Lembah Jaya.

Beliau berkata, majoriti pengundi Tasik Permai adalah Cina dan India, manakala majoriti pengundi Kampung Baru Ampang Pertama dan Kampung Baru Ampang Kedua adalah Cina.

"SPR melaksanakan pemisahan kaum, kerana mereka meletakkan orang Melayu di satu kawasan dan orang Cina dan India di kawasan yang lain," katanya.

SPR bagaimanapun hanya akan memberi respon kepada bantahannya secara bertulis, katanya lagi.

Inkuiri awam itu diadakan di sebuah hotel di Shah Alam. Pendengaran tertutup itu akan bersambung esok sehingga paling awal Januari ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah enggan memberikan ulasan ketika ditemui pemberita.

Proses persempadanan semula di Selangor kini dihentikan selepas kerajaan negeri mengemukakan bantahan di mahkamah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS