Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN I Persoalan tentang siapakah calon perdana menteri mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin mendapat perhatian umum.

Masyarakat mula membicarakan soal siapakah sosok terbaik untuk memimpin negara jika HARAPAN mengambil alih tampuk kepimpinan dari tangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Persoalan ini semakin menjadi topik hangat hari demi hari untuk dihujahkan. Pelbagai tafsiran berkait nama-nama tertentu mulai kedengaran dan semakin hebat diperkatakan.

Kualiti, prestasi, pengalaman dan peranan mula dikupas satu persatu untuk dinilai sebagai kayu ukur terbaik memimpin negara kelak.

Bagi Umno dan BN, mereka tidak punya banyak pilihan selain mengekalkan terus Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

Prestasi Najib dihebahkan seantero Malaya di samping menenggelamkan pencapaian pemimpin terdahulu.

Gambaran mereka agak konsisten di semua peringkat bahawa Najib adalah calon terbaik memacu Malaysia.

Projek-projek berimpak populis menjadi bahan kempen di semua saluran media. Sedangkan sistem yang menekan rakyat seperti GST digambarkan seolah-olah rakyat bersenang lenang menerimanya.

Skandal-skandal yang mengaitkan nama Najib seperti 1MDB ditutup habis-habisan dan ditepis dengan pelbagai strategi untuk mengalih perhatian umum.

Umno dan Barisan Nasional sebenarnya ketandusan calon beribawa. Walaupun Najib terpalit pelbagai skandal, mereka terpaksa pertahan habis-habisan demi kelangsungan survival politik Umno.

Perhimpunan Agong Umno yang lalu mencadangkan agar presiden dan timbalan presiden dikekalkan. Ini sekaligus memberi gambaran bahawa Umno ketandusan pemimpin pelapis sehingga terpaksa mengekalkan pemimpin sedia ada.

Mereka sedar bahawa risikonya terlalu besar dengan mengekalkan Najib untuk terus memimpin. Namun hakikatnya ketandusan calon sesuai untuk menggantikan Najib menjadi faktor kekebalan Najib untuk terus berkuasa.

Sisi Pakatan Harapan

Di sisi HARAPAN pula terdapat sebilangan tokoh-tokoh yang sesuai untuk menerajui negara.

Nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Azmin, Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Mohamad Sabu, Rafizi Ramli dan Lim Guan Eng semakin menjadi sebutan ramai.

Parti Keadilan Rakyat menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri. Tidak dapat dinafikan dari segi prestasi, pengalaman dan pencapaian maka Anwar tokoh yang paling kanan untuk mengisi jawatan sebagai nakhoda negara.

Namun kekangan hukuman penjara sebagai tahanan politik membataskan hasrat ini. Pelbagai usaha terus dilakukan untuk membebaskan Anwar Ibrahim namun setiap darinya menyaksikan jalan buntu.

Sebagai langkah untuk menjamin kesinambungan HARAPAN, satu nama perlu dibawa ke hadapan untuk mengisi ruang kosong terbabit.

Sama ada nama tersebut akan kekal menerajui negara sebagai pemimpin nombor 1, atau hanya interim sementara Anwar Ibrahim dipersiapkan untuk mengepalai negara, itu akan menjadi persoalan strategi yang memberi impak secara langsung terhadap kepercayaan masyarakat kepada HARAPAN.

Mahu atau tidak satu nama perlu dipersembahkan kepada rakyat.

Perdana menteri Interim

Kajian demi kajian menunjukkan Anwar masih relevan untuk terus memimpin negara. Namun kekangan yang pelbagai juga menjadi masalah nyata di mana Anwar harus dibebaskan terlebih dahulu sebelum beliau boleh dikembalikan ke arena politik tanah air.

Sementara semua usaha tertumpu untuk membebaskan Anwar, maka timbullah saranan untuk perdana menteri interim dinamakan.

Persoalannya, adakah masyarakat mahu menerima hakikat itu di mana perdana menteri yang diangkat hanya interim sementara menunggu bakal perdana menteri sebenar dipulihkan statusnya. Atau masyarakat harus dihidangkan dengan idea yang lebih segar dengan menamakan tokoh lain yang tidak dianggap sementara?

Adakah rakyat benar-benar selesa dengan idea perdana menteri interim atau rakyat akan mula berasa muak dengan bawakan politik sebegini.

HARAPAN perlu sedar tentang hakikat di mana masyarakat hari ini mahu melihat calon yang beribawa. Dan mereka harus menamakan calon yang sesuai untuk menggantikan Najib sebagai perdana menteri.

Kalaulah Anwar berada di arena politik, tentunya permasalahan ini tidak timbul. Anwarlah calon perdana menteri yang paling tepat. Namun tidak dapat tidak, satu tokoh perlu ditonjolkan sebagai sosok ganti yang sesuai mengepalai negara kelak. Siapakah sosok itu?

Tun Mahathir

Pencapaian Mahathir sebagai pemimpin nombor 1 negara selama 23 tahun mula disorot kembali. Tentunya pelbagai kemajuan yang dicapai ketika era pentadbirannya menjadikan nama Mahathir enak disebut.

Namun sejarah hitam pemecatan timbalan perdana menteri pada tahun 1998 sedikit sebanyak mencalarkan kegemilangan Mahathir.

Malah Anwar yang dipecat pada ketika itu berjaya menyatukan parti-parti pembangkang dan menubuhkan PKR sehingga menjadi sebuah wadah perjuangan yang digeruni hari ini.

Bertitik tolak dari situ, nama Mahathir disebut sebagai rival kepada pembangkang yang semakin kuat hari demi hari.

Mahathir kemudiannya terpaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri untuk memperbaiki imej Umno yang tercalar teruk dan mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada BN.

Ternyata strategi ini berkesan apabila "Mr Clean", Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri.

Namun usia jawatan perdana menteri di tangan Pak Lah begitu singkat. Mahathir kembali berperanan untuk menjatuhkan Pak Lah kerana dianggap lemah dalam membuat keputusan. Mahathir kemudiannya menamakan Najib sebagai calon baru yang sesuai menggantikan Pak Lah.

Mahathir tersilap langkah

Menamakan Najib sebagai perdana menteri yang baru dianggap sebagai keputusan terburuk dalam sejarah politik Mahathir.

Murid yang disangka hebat ini telah mencalarkan imej negara di mata dunia melalui pelbagai skandal.

Tidak dapat tidak, Mahathir terpaksa mengakui kesilapan ini dan beliau harus berusaha untuk menurunkan Najib dari kerusi Malaysian Official Number One. Ternyata Najib jauh lebih cekap dalam tari politik. Kesemua usaha Mahathir dan sekutu akhirnya menemui jalan buntu.

Tiada jalan lain bagi Mahathir selain turun semula ke gelanggang politik bertemu masyarakat dan seterusnya menubuhkan sebuah parti baru (BERSATU) untuk menentang Umno yang sudah rosak teruk.

Di peringkat ini Mahathir terpaksa menghulur tangan kepada seterunya iaitu Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang yang lain.

Oleh kerana matlamat mereka sama iaitu menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional, akhirnya sebuah gabungan pembangkang yang kuat berjaya dibentuk terdiri dari Keadilan, DAP, AMANAH dan BERSATU.

Mahathir perlu menebus kesilapannya yang lalu. Beliau akhirnya terpaksa mengakui bahawa PKR yang ditubuhkan untuk menentang rejim di bawah kepimpinan beliau dahulu, akhirnya menjadi sekutu terkuat beliau. Sekali gus beri gambaran bahawa segala tohmahan terhadap Anwar dahulu hanyalah tekanan politik.

Mahathir di paras tertinggi

Desas desus mula berlegar gandingan dua "Doktor" bakal menerajui negara sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri mewakili HARAPAN. Dua doktor yang dimaksudkan adalah Mahathir dan Wan Azizah.

Tentunya gandingan ini dilihat mantap, namun terdapat penentangan kecil khususnya dari kalangan pendukung perjuangan reformasi yang masih terkesan dengan tindak tanduk Mahathir satu ketika dulu.

Perkara ini sedikit sebanyak akan mencacatkan gandingan dua doktor ini kerana di kalangan pendukung tidak semua boleh menerima Mahathir kembali ke tampuk kuasa.

Justeru timbul satu cadangan dari akar umbi supaya Mahathir diangkat sebagai mentor bertujuan membimbing calon-calon pelapis untuk ditonjolkan di masa hadapan.

Pada hemat saya inilah cadangan terbaik di mana Mahathir tidak perlu kembali ke tampuk kuasa sebaliknya beliau membantu mempersiapkan jentera dan tokoh-tokoh baru untuk diangkat.

Tentunya segala pengalaman dan pengetahuan beliau boleh dimanfaatkan oleh calon-calon pelapis.

Sejujurnya saya melihat Mahathir seperti belon yang berada di paras siling. Ke mana pun belon itu pergi, tetap berada di paras tertinggi dan tidak akan boleh pergi lebih tinggi atau turun lebih rendah. Mahathir perlu beri ruang kepada calon-calon baru untuk naik ke paras beliau.

Setidak-tidaknya beliau yang melepasi usia 90an bolehlah berehat dan menumpukan soal kesihatan dan keluarga.

Segala jasa dan pengorbanan beliau teramat besar kepada negara dan saya berpandangan perlulah kita beri penghormatan kepada Mahathir untuk menumpukan soal keluarga dan berehat secukupnya, di samping beliau terus berperanan sebagai mentor kepada HARAPAN.

Wan Azizah calon PM

Sebagai presiden HARAPAN dan ketua pembangkang negara tentunya Wan Azizah adalah calon paling tepat untuk mengisi jawatan sebagai perdana menteri.

Berpengalaman selama 18 tahun sebagai presiden PKR menjadikan beliau sebagai presiden sebuah parti politik paling lama menyandang jawatan itu di Malaysia.

Beliau juga diangkat sebagai ketua pembangkang parlimen wanita yang pertama dalam sejarah negara sejak 2015.

Sebagai pemimpin, ketokohan dan prestasi beliau sukar disangkal. Sebagai isteri pula kesetiaan beliau di samping suami antara kisah yang menarik untuk dijadikan rujukan.

Isteri kepada Anwar ini sememangnya dikenali sebagai wanita besi kerana ketahanan beliau dalam mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran ketika suaminya difitnah dan dijadikan tahanan politik.

Sebagai ibu pula beliau berjaya mendidik anak-anak beliau sehingga ke menara gading. Malah salah seorang anak beliau kini merupakan tokoh pemimpin wanita muda yang juga ahli parlimen Lembah Pantai iaitu Yang Berhormat Nurul Izzah Anwar.

Sebagai peneraju HARAPAN, beliau berjaya menyatukan 4 buah parti politik untuk bersama di bawah satu panji iaitu HARAPAN.

Tentunya semua kecemerlangan ini melayakkan beliau untuk bergelar perdana menteri wanita pertama selepas PRU14 nanti.

Azmin pemimpin pelapis

Satu nama lagi yang perlu diberikan perhatian ialah YAB Azmin Ali, datuk seri menteri besar Selangor.

Sebagai timbalan presiden PKR, ketokohan beliau sangat menyerlah sebagai pemimpin pelapis yang segar.

Kesetiaan beliau kepada parti dan perjuangan tidak boleh dipertikaikan. Mengharungi pelbagai liku-liku dan cabaran, mematangkan Azmin sebagai pemimpin pelapis yang sangat menyerlah.

Prestasi Azmin sebagai menteri besar Selangor pula sangat cemerlang. Pelbagai inisiatif yang menguntungkan rakyat memberikan impak yang amat positif kepada HARAPAN.

Justeru tidak hairanlah beliau diserang kiri kanan bertujuan untuk memburukkan dan menjatuhkan imej beliau.

Anak-anak muda juga agak senang berdamping dengan Azmin. Beliau mudah didekati. Namun segelintir mereka yang berada di sekeliling Azmin kelihatan terlalu mengepung beliau, sehingga timbul cakap-cakap bahawa Azmin hanya menjaga kelompok tertentu sahaja dalam berpolitik.

Jujurnya secara peribadi, saya boleh katakan yang Azmin terbuka dengan sesiapa sahaja. Namun segelintir mereka yang berada di dalam radius Azmin juga perlu berperanan untuk menonjolkan imej yang baik dengan meraikan semua pihak, dan bukannya kelompok-kelompok tertentu sahaja.

Tidak hairanlah jika kelompok yang mengepung Azmin ini diberi gelaran tertentu oleh mereka-mereka yang memerhati.

Imej Azmin yang begitu menyerlah ketika ini perlu dipercantikkan lagi dengan sikap terbuka semua pihak yang mendukung Azmin. Saya kira Azmin boleh pergi lebih jauh dengan prestasi yang sangat baik.

HARAPAN perlu berani

Akhir kalam saya berharap agar kepimpinan HARAPAN berani buat keputusan untuk menamakan calon perdana menteri yang sesuai. Tentunya rakyat tertunggu-tunggu siapakah calon yang akan ditonjolkan oleh HARAPAN.

HARAPAN juga tidak boleh mengambil pendekatan untuk terus menyembunyikan calon perdana menteri, kerana calon yang tepat sedikit sebanyak akan menambah keyakinan rakyat untuk mengundinya.

Saya punya keyakinan penuh bahawa keputusan yang bakal dibuat telah diperhalusi dan melalui proses perdebatan panjang demi menjamin kestabilan politik HARAPAN.

Hakikatnya HARAPAN dibarisi oleh ramai tokoh-tokoh yang jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh BN dan parti-parti lain.

Tentunya pada pilihan raya yang akan datang bakal menjadi medan penentu terbesar dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Dan kesudahannya adalah pertembungan BN melawan HARAPAN. Parti-parti selain itu hanyalah penghias cerekarama politik. 


SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN Adalah penolong setiausaha Angkatan Muda Keadilan Nasional dan  setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS