Sepanjang 17 tahun yang lalu, Malaysiakini tidak pernah gagal menamakan seorang pencetus berita paling popular apabila kami melabuhkan tirai pada hujung tahun.
Pencetus berita ditakrifkan sebagai "seseorang yang tindakannya menjadi tajuk berita, yang memberi kesan kepada wacana awam dan impak politik Malaysia, untuk lebih baik atau sebaliknya".
Malaysiakini menamakan 12 calon untuk anugerah pencetus berita 2017.
Seramai 1,614 orang telah mengambil bahagian dalam tinjauan selama tujuh hari ini. Mereka mengundi bagi setiap calon yang digemari dengan markah 0 adalah yang paling rendah dan 10 adalah tertinggi.
Dan inilah keputusan mereka - pencetus berita pada tahun 2017 adalah individu yang tidak asing dengan kontroversi.
Beliau berada di tempat kedua sebagai pencetus berita pada 2016 - di belakang individu yang digelar sebagai Malaysian Official 1 (MO1).
Pencetus berita tahun ini adalah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang pemimpin yang disayangi dan dibenci ramai orang.
Pada usia 92 tahun, beliau terus menjadi tajuk utama dalam menerajui kempen untuk menjatuhkan musuh politiknya, Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir telah mewarnai politik Malaysia selama hampir empad dekad, namun belum ada tanda-tanda beliau akan berundur.
Bahkan ada usaha untuk melantik semula beliau sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.
Memandangkan pengaruhnya yang besar dalam lanskap politik negara, tidak menghairankan Mahathir menjadi pemenang selama empat kali. Beliau adalah pencetus berita pada tahun 2005 (bersama Rafidah Aziz), pencetus berita pada 2006 dan 2015.
Di tempat kedua adalah Najib, yang memenangi gelaran itu pada tahun lalu selepas didedahkan sebagai MO1.
MO1 adalah akronim yang digunakan oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ) dalam saman sivilnya untuk mendapatkan aset AS$ 1.7 bilion yang didakwa diperolehi melalui penyelewengan 1MDB.
Aset itu didakwa diperoleh daripada wang 1MDB yang diselewengkan, antaranya untuk membeli harta tanah mewah di New York dan Los Angeles, lukisan Monet dan Van Gogh serta pesawat peribadi.
DOJ memfailkan saman terbaru pada tahun ini dan menambah beberapa item lagi untuk disita- antaranya, kapal layar mewah, berlian bernilai jutaan ringgit dan karya seni bernilai tinggi.
DOJ berkata sejumlah AS $ 4.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB, dana kekayaan negara yang ditubuhkan Najib pada tahun 2009 yang mana beliau menjadi pengerusi lembaga penasihatnya.
No 3 dalam senarai itu adalah "orang penting" dalam skandal 1MDB, istilah yang digunakan oleh penguatkuasa undang-undang AS untuk merujuk kepada seseorang yang terlibat dalam siasatan jenayah yang belum ditangkap atau secara rasmi dituduh melakukan jenayah.
Beliau tidak lain dan tidak bukan adalah Jho Low, rakan sekutu Najib dan dalang yang didakwa dalam skandal berbilion 1MDB.
Low dikatakan bersembunyi dan dilaporkan menghabiskan masa di atas kapal mewah yang dicari DOJ, yang sering dilihat berada di perairan antarabangsa di Phuket - dan sebuah hotel di Shanghai.
Seterusnya dalam senarai ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor - wanita yang suka dikenali sebagai Wanita Pertama Malaysia (Flom), dan juga dikenali sebagai Mrs MO1.
Beliau dikatakan merupakan penggemar beg tangan mewah dan barangan kemas.
DOJ mendakwa sekurang-kurangnya AS$ 27.3 juta (RM110 juta) wang 1MDB digunakan untuk membeli berlian 22 karat dan kalung berlian untuk "isteri MO1."
Nombor 5, 6 dan 7 dalam senarai adalah tiga wanita Malaysia iaitu ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Mahathir, Tun Siti Hasmah Ali dan bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan. Mereka diikuti empat individu lain.
Di tempat terakhir ialah Datuk Jamal Mohd Yunos, Ketua Bahagian Umno Sungai Besar yang sering tampil dengan pelbagai aksi dan gimik namun jelas bukan individu paling popular di kalangan pembaca Malaysiakini.
Senarai penuh:
Mahathir Mohamad, dari PM kepada pembangkang
13,772 mata
Najib Razak, juga dikenali sebagai MO1
12,105 mata
Jho Low, sekutu MO1
10,702 mata
Rosmah Mansor, didakwa sebagai Mrs MO1
10,653 mata
Wan Azizah Wan Ismail, ketua pembangkang
10,605 mata
Siti Hasmah Ali, isteri Mahathir
9,923 mata
Ambiga Sreenevasan, bekas presiden Majlis Peguam dan penyelaras BERSIH
9,203 mata
Pastor Raymond Koh, yang diculik dan tidak diketahui keberadaannya
8,900 mata
Dzulkifli Ahmad, bos SPRM
7,690 mata
Zakir Naik, pendakwah kontroversi
7,594 mata
Ahmad Zahid Hamidi, timbalan perdana menteri
6,592 mata
Jamal Mohd Yunos, pemimpin Umno Sungai Besar
6,191 points
