Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan mufti kerana gagal menghalang berlakunya Peristiwa Memali, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata para mufti tidak bersuara kerana campur tangan politik semasa era pentadbiran Mahathir.

Hadi berkara pada waktu itu tiada pemisahan kuasa dan berlaku campur tangan politik dalam hal ehwal pentadbiran.

"Itu berlaku menyebabkan hakim dipecat, ketua polis negara tak boleh tertindak dengan cara yang tepat, mufti pun dia nak paksa, nak bercakap pun diam di masa itu.

"Lebih selamat. Itulah suasana pada masa itu," beliau memberitahu suatu sidang akhbar di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Hadi memberi maklum balas terhadap ucapan penutup Mahathir pada perhimpunan agung BERSATU semalam.

Mahathir berkata antaranya para mufti patut bercakap menentang ucapan Hadi yang terkenal dengan nama Amanat Haji Hadi yang didakwa ramai pihak sebagai bertanggungjawab menyebabkan peristiwa Memali pada tahun 1985 yang mengorbankan 18 nyawa.

“Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti-mufti.

“Saya fikir mufti-mufti patutlah bertanggungjawab kenapa berlaku peristiwa Memali, ia tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi mufti mencabar Amanat Hadi (yang malah) tidak disangkal oleh mereka,” katanya.

'Amanat Haji Hadi' merujuk ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tersebar di kalangan anggota PAS pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Pada ketika itu Hadi ialah anggota parlimen Marang dan ketua PAS Terengganu.

Ambil penjelasan

Mahathir menjadi perdana menteri pada 16 Julai 1981 selepas berkhidmat sebagai timbalan perdana mentersi semenjak 1976.

Dalam ucapan itu, Hadi mendakwa PAS menentang Umno kerana parti berkenaan mengekalkan undang-undang kafir, maka menentangnya merupakan suatu jihad.

Manakala itu, Hadi berkata Mahathir patut menjawab bukunya yang ditulis beliau bagi menjelaskan amanatnya yang terkenal itu.

"Sepatutnya dilihat ucapan itu sepenuhnya. Mengambil petikan ucapan tanpa mengambil penjelasan adalah satu tindakan yang salah. Ini kerana semata-mata kepentingan politik," katanya.

[Baca berita asal]


 

Lihat Komen
ADS