Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM ikrar PRU-14 bebas rasuah
Diterbitkan:  Jan 2, 2018 12:25 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikrar akan memastikan gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak berleluasa ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung.

Untuk tujuan itu, ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, bilik operasi SPRM akan diwujudkan di setiap negeri bagi memantau dan anggotanya turut akan berkhidmat 24 jam sehari bagi memastikan aktiviti itu tidak berlaku.

“Menjelang PRU, SPRM akan mewujudkan bilik gerakan operasi di setiap negeri untuk memantau aktiviti rasuah dan salah guna kuasa bagi memastikan tidak ada aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.

“Semua pegawai operasi SPRM akan berada dalam keadaan bersedia 24 jam untuk menerima sebarang maklumat dan laporan berhubung perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang tertakluk di bawah Akta Pilihan Raya 1957 dan Akta SPRM.

“SPRM memandang serius perbuatan sedemikian yang akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin dan parti politik.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Polis diRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang PRU,” beliau dipetik oleh Berita Harian dalam laporan soal jawabnya, hari ini.

Dzulkifli berkata demikian mengulas mengenai persediaan SPRM dalam menghadapi PRU.

Beliau ketika ditanya mengenai harapannya kepada calon yang akan bertanding nanti berkata, individu tersebut perlu ingat mengenai tanggungjawab dan amanah yang akan dibawa kepada rakyat kelak.

Selain itu beliau mengingatkan parti politik untuk mengemukakan calon yang sentiasa bersih dari sebarang jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“Ia bukan habuan tapi tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan amanah.

“Saya harap parti politik akan memastikan calon yang dikemukakan adalah mereka yang bersih dan bebas daripada isu rasuah serta salah guna kuasa, mereka juga perlu menghindari diri dari terbabit dari kegiatan yang menyalahi akta pilihan raya dan akta SPRM.

“Calon perlulah mengetahui gerak-geri mereka sedang diperhati dan rakyat sendiri akan menilai mereka sebelum dipilih sebagai wakil rakyat.

“Saya harap calon tidak terbabit jenayah rasuah dan salah guna kuasa ketika PRU dan selepas PRU sekiranya dilantik,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS