Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M: Kerugian rizab asing lebih besar berbanding forex
Diterbitkan:  Jan 2, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak penjelasan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai kerugian rizab asing Bank Negara antara 2013 dan 2015.

Katanya, Johari tidak menjelaskan punca kehilangan AS$39.6 bilion (RM161 bilion) sepanjang tempoh berkenaan.

"Namakan apa sekalipun, hakikatnya bahawa pengurusan rizab kita kerugian lebih tujuh kali ganda jumlah yang kita hilang 30 tahun lalu.

"Dan kerugian itu disebabkan urusniaga dolar AS untuk membeli ringgit. Sekiranya ini bukan disebabkan oleh urusniaga, maka apa yang menyebabkan rizab itu hilang? Ini YB Johari Ghani belum jawab," katanya dalam catatan terbaru di blog hari ini.

Mahathir dan Johari mula bertikam lidah sejak awal Disember tahun lalu berhubung kerugian pertukaran asing Bank Negara sekitar awal 1990-an (RM31.5 bilion), dan kerugian rizab asing bank pusat itu antara 2013 dan 2015.

Mahathir, yang diheret ke Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian tukaran mata wang asing itu, berhujah bahawa kerugian antara tahun 2013 dan 2015 juga wajar disiasat.

Johari menegaskan bahawa kerugian RM161 bilion bukan disebabkan oleh salah urus, tidak seperti kerugian forex yang disebabkan oleh spekulasi mata wang.

Beliau berkata spekulasi mata wang itu mirip dengan perjudian dan di luar mandat Bank Negara.

Sedangkan, menurut Johari, kerugian antara 2013 dan 2015 itu adalah untuk memudahkan kecairan, dan mengurangkan ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan ringgit, yang
adalah sebahagian daripada pengurusan pasaran pertukaran asing.

Dalam catatan blog hari ini, Mahathir yang juga adalah pengerusi Pakatan Harapan berkata urusniaga pertukaran asing di antara tahun 2013 dan 2015 tentulah "telah gagal berulang kali" memandangkan nilai ringgit berbanding dengan dollar AS masih rendah.

Bagi rekod, kadar pertukaran semasa adalah RM4.0325 berbanding AS$1.00.

"Kerugian besar mungkin disebabkan pengurusan yang normal. Tetapi jumlah besar mestilah terlibat untuk menjadi sebegitu besar. Tidak semestinya Bank Negara mengikuti trend aliran dana keluar dari Malaysia.

"Sebenarnya, tugas Bank Negara adalah menghentikan aliran keluar, bukan untuk meningkatkan aliran keluar. Satu-satunya sebab Bank Negara mencairkan pegangan mata wang asing dalam rizabnya adalah untuk menyokong nilai ringgit dengan membeli mata wang negara itu," katanya.

Menurut Mahathir, berikutan Krisis Kewangan Asia 1997, Malaysia menghentikan dagangan rizab asing untuk meningkatkan nilai ringgit apabila kerugian mencecah RM11 bilion, dan ia menjadi jelas bahawa dasar itu tidak berfungsi.

Walau bagaimanapun, antara tahun 2013 dan 2015, beliau berkata bahawa Malaysia tidak menghentikan urusniaga berkenaan sehingga kerugiannya mencecah RM161 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS