Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan negeri Kelantan hari ini tampil menjawab dakwaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa berhubung isu penamatkan kontrak pemaju Lebuhraya Rakyat.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kontrak antara pemaju iaitu Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dan kerajaan negeri dibubarkan atas persetujuan bersama.

Menurutnya, kerajaan negeri dimaklumkan oleh anak syarikat JKSB bahawa mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut atas tekanan tertentu.

"(Pemaju) ialah anak syarikat kerajaan persekutuan. Kita berunding, kita tidak tamatkan dan kita buat mutual agreement (persetujuan bersama).

"Ini bermakna mereka rela serah dan kita setuju penyerahan itu. Tapi (bukan dengan) terma penamatan kontrak, sebaliknya persetujuan kedua-dua pihak dengan syarat-syarat tertentu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor mendedahkan kerajaan negeri menamatkan kontrak bersama dengan syarikat berkenaan dan berdepan dengan satu tindakan undang-undang.

Pendedahan Husam itu dibuat dalam satu forum yang diadakan di Kota Bharu, minggu lalu.

Sementara itu, Hanifa yang juga ADUN Pengkalan Pasir menjelaskan syarat persetujuan bersama itu melibatkan kerajaan negeri Kelantan perlu membayar kerja-kerja yang dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan mengikut kontrak asal.

Beliau turut menafikan dakwaan kerajaan negeri disaman oleh syarikat terbabit.

"Kita telah tandatangan kontrak dengan JKSB dalam tahun 2015 dengan tempoh-tempoh tertentu dan tiga tahun sepatutnya (lebuhraya) siap.

"Husam kata anak syarikat JKDB menyaman kita, ini adalah satu fitnah semata-mata untuk memburukkan kerajaan negeri Kelantan," jelasnya.

Hanifa turut tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan Husam yang disifatkan sebagai fitnah.

"Dia juga ada menunjukkan dokumen yang ditandatangani oleh menteri besar dan ketua setiausaha kerajaan negeri, dokumen ini mengenai perjanjian penting.

"Dan kita sedang teliti jika dokumen itu disebarkan dengan apa cara oleh syarikat atau pegawai boleh diambil tindakan kerana membocorkan maklumat," katanya sambil menjelaskan projek Lebuh Raya Rakyat kini diteruskan oleh pemaju lain yang dilantik kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS