Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduhan kafir: Antara saya dan Mahathir, saya maafkan, kata Hadi
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 10:29 AM
Dikemaskini: 4:51 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu yang dilaporkan menyindirnya 'kafir'.

Dalam rakaman video yang dikongsi di Fcebooknya, Abdul Hadi juga berharap agar Dr Mahathir insaf dengan perbuatannya memandangkan beliau sudah berusia.

"Antara saya dan dia saya maafkan. (Antara) dia dan tuhan, dia kena bertaubat.

"Dia orang tua, biar dia insaf sendiri.

"Kita ingat biar dia insaf sendiri. Dia duduk sorang-sorang, fikir sendiri. Dia kena banyak baca buku. Jangan baca buku perubatan je. Buku Islam pun dia kena baca," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung sindiran Mahathir terhadap anggota parlimen Marang itu selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Markas Besar PRU-14 N20 Pengkalan Berangan, malam semalam.

Pada sidang media semalam, Dr Mahathir dilaporkan menyindir Abdul Hadi yang bekerjasama dengan Umno- yang menurutnya, presiden PAS itu pernah menggelar mereka sebagai “kafir”.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata: “Najib ini kafir menurut PAS dan Hadi pernah kata, jika kamu bekerjasama dengan kafir, kamu pun jadi kafirlah.

"Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno dan pada suatu masa dengan DAP, dia sendiri pun kafirlah,” kata Dr Mahathir.

Pada sidang media sama, Dr Mahathir turut menggelarkan Abdul Hadi sebagai pengkhianat kerana didakwa memecahbelahkan undi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, ditanya sama ada kenyataan bekas perdana menteri berkenaan dilihat sebagai terdesak, Abdul Hadi menasihatkan Dr Mahathir supaya “tidak memecahkan kepala sendiri”.

"Dia (Dr Mahathir) macam orang terdesak yang rapat ke dinding. Bila rapat ke dinding, tak boleh pergi dah. Dia (akan) tempuh dinding itu, tak pasal-pasal pecah kepala sendiri.

"Jangan pecahkan kepala sendiri," katanya.

Presiden PAS itu walau bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung isu Amanat Hadi yang kini dibangkitkan kembali oleh Dr Mahathir.

“Saya dah tulis buku dan buku dicetak beberapa kali. Jadi, saya tak mahu ulang balik, rujuk buku itu sudah cukup,” katanya.

Lihat Komen
ADS