Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN l Ia adalah malam yang dinanti-nantikan oleh ramai pencinta ilmu. Dalam keadaan serba terkekang, program disiarkan di TV1 setiap malam Jumaat itu yang menjadi perhatian.

Waktunya - kalau tidak silap - ialah 9 malam, iaitu sejurus selepas berita perdana.

Ehwal Islam adalah Ehwal Islam yang banal sehinggalah muncul gandingan mantap antara Datuk Dr Hasan Ali, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Dr Haron Din dan Datuk Hashim Yahya.

Mereka memberi definisi baru untuk program Ehwal Islam saban minggu. Masih terngiang-ngiang lagi jenaka Hasan ketika beliau memuji Tuan Ibrahim.

"Beliau ini bukan calang-calang. Datuk lagi, Tuan lagi, Ibrahim lagi..." katanya merujuk kepada nama pensyarah Institut Teknologi Mara itu.

Mereka - ketika itu - adalah tokoh yang dilihat cenderung kepada gerakan Islam. Ia adalah apa yang diperlukan oleh masyarakat yang mencari-cari program 'bebas' di kaca TV ketika itu.

Bukan parti pak lebai

Sejarah mencatatkan bahawa tiga daripada tokoh terbabit akhirnya menyertai PAS, manakala seorang lagi kekal menjadi mufti Wilayah Persekutuan yang dihormati.

Seperti biasa, memanglah selepas itu Hasan, Tuan Ibrahim dan Haron tidak lagi muncul di kaca TV kecuali untuk tujuan memburuk-burukkan mereka atau PAS.

Simpati dan sokongan ramai semakin menebal buat parti berkenaan. Memang lazimnya begitulah - dengan maklumat yang semakin mudah dan sifat manusia yang bersimpati kepada mangsa tekanan, PAS didekati pelbagai golongan.

Pendekatan yang diambil begitu kena dengan masa. Kalau dulu PAS dianggap parti tok-tok lebai ia perlahan-lahan menjadi pilihan golongan pakar pelbagai bidang.

Seorang wartawan wanita akhbar arus perdana - misalnya - mengisi borang untuk memohon menjadi ahli PAS. Dia tidak teragak-agak menjadi ahli parti walaupun ia seakan suatu keanehan untuk wartawan akhbar arus perdana.

Borang diisi, wang pendaftaran dikepilkan dan permohonan diserahkan. Ia berlaku di Pasir Salak - sebuah kawasan yang pernah menghadapi masalah kepimpinan sehingga mendapat campur tangan daripada bekas timbalan presiden PAS, Allahyarham Hassan Shukri.

Mendepani cabaran zaman

Selepas setahun permohonan itu tidak dapat dipastikan kedudukannya. Dia tidak didaftarkan. Entah permohonan ditolak atau borang ditapis.

Tapi sokongan tetap diberi atas sifat yang diatas tadilah.

Melihat kepada perkembangan PAS, tidak ramai yang dapat meramalkan bahawa parti itu kini akhirnya menjadi sebuah pertubuhan yang dekat dengan seni budaya. Atau secara khusus, budaya berkias.

Ia memang cocoklah dengan budaya Melayu. Seni berkias, berumpama, berbidal ini adalah amalan turun-temurun yang menebal dalam masyarakat Melayu.

Ia juga menjadi ramuan paling ampuh untuk PAS mendepani cabaran sezaman, apa lagi mengenangkan tarikh pilihan raya umum (PRU) yang ke-14 semakin hampir.

Ramai yang berkata parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi. Mungkin dalam tempoh kurang dari 100 hari. Maka dapat difahami jika PAS dan pemimpinnya kian agresif berdakwah dengan kaedah bidalan dan bahasa halus ini.

Mari kita menoleh seketika untuk menikmati sebahagian daripada kata bidalan dan perumpamaan pernah keluar dari mulut pemimpin-pemimpin PAS.

Antaranya yang begitu jitu dan menawan hati ialah ungkapan seperti sekeh kepala mufti, anak butir tahi, anjing, babi, barua dan bermacam-macam lagi.

Terbaru, bidalan pemimpin PAS untuk menggambarkan tindakan Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, meninggalkan parti itu.

Ungkapan amat sedap

Ia bukan lagi rahsia bahawa PAS memang mahukan Mahfuz keluar dari parti yang pernah mendapat khidmatnya sejak berpuluh tahun silam. Tapi PAS tentu sedar, sepanjang perjalanan perjuangan besar akan ada golongan yang 'tergelincir' daripada kelompok mereka.

Ia adalah seperti apa yang dijelaskan oleh Fathi Yakan. Anggota gerakan Islam tentu faham benar dengan fitrah ini.

Justeru memang halal benar bekas naib presiden PAS yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu dikeji dengan perumpamaan yang sesedap rasa.

Justeru Mahfuz dibandingkan dengan buah mangga yang busuk dan jatuh sendiri.

Dan paling sedap didengar ialah ungkapan yang keluar daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu mengumpamakan Mahfuz sebagai "orang lama mati" dan baru mahu ditanam.

Ungkapan itu sekali gus memadamkan keindahan bidalan pernah diungkapkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini lafaz "kepala bapak kau" itu begitu sedap didengar dan mengasyikkan. Namun hasil kelincahan pemimpin PAS serta ulama Islam sedunia itu, kata-kata Najib bakal dilupakan orang.

Pada zaman orang yang menyertai kuliah agama lebih bertumpu untuk menekuni salasilah keturunan Zorro serta pengaruh Syiah dalam Ultraman, kaedah politik lalu memang tidak PAS perlukan.

Apa yang perlu untuk PAS ialah mematangkan bidalan-bidalan Melayu serta memaknakan politik dengan perumpamaan silam.

Dan ia sudah tentu dapat dilakukan dengan baik oleh PAS. Ia mengingatkan kita kepada jenaka bersahaja Hasan kepada Tuan Ibrahim suatu ketika dulu mengenai parti berkenaan: "Datuk lagi, Seri lagi, tuan lagi, guru lagi, haji lagi, Abdul lagi, Hadi lagi..."

Bersama dengan kehebatan itu kita boleh menjangkakan dengan yakin, PAS menjadi parti yang paling berjaya dalam PRU akan datang.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


 

Lihat Komen
ADS