Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkeso sasar kutipan SIP RM479.5 juta
Diterbitkan:  Jan 5, 2018 7:20 AM
Dikemaskini: Jan 5, 2018 9:23 AM

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan kutipan sebanyak RM479.5 juta melalui pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata jumlah itu melibatkan kutipan daripada 430,000 majikan dan 6.6 juta pekerja yang mencarum dengan Perkeso.

"Hasil kutipan pertama dijangka diterima dari majikan mulai Febuari ini dan tempoh matang dana (pembayaran faedah kepada penerima yang layak) pada tahun depan," katanya dalam satu sesi temu bual bersama media mengenai SIP di Wisma Perkeso hari ini.

Katanya sementara menunggu dana matang, pekerja yang hilang pekerjaan pada tahun ini akan dibantu dengan bantuan interim yang diperuntukkan kerajaan berjumlah RM136 juta.

Dalam pada itu Aseh berkata sebagai persediaan, Perkeso kini sedang menaik taraf sistem teknologi maklumat bagi melancarkan operasi sistem tersebut.

Selaras itu, satu pusat operasi nasional SIP telah dibuka di Wisma Perkeso Jalan Tun Razak bagi memudahkan akses majikan membayar skim itu.

Sehubungan itu juga Perkeso akan menambah 621 kakitangan dan pegawai seluruh negara bagi tujuan operasi SIP ini,katanya lagi.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan SIP yang dirancang pada minggu ketiga bulan ini di Wisma Perkeso.

Sementara itu, Aseh berkata di bawah SIP caruman serendah 0.2 peratus daripada pendapatan pekerja dan 0.2 peratus sumbangan majikan sebulan dikenakan berdasarkan jumlah pendapatan daripada RM1,000 hingga RM4,000.

"Caruman bermula serendah RM3.80 sebulan hingga paling tinggi RM15.80 sebulan," katanya.

SIP membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan terdiri daripada dua komponen iaitu bantuan kewangan sementara tiga hingga enam bulan dan bantuan carian pekerjaan serta latihan.

Antara bantuan yang akan diterima pencarum ialah Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Latihan dan Elaun Pendapatan Berkurangan (untuk pekerja yang mempunyai lebih dari satu majikan).

Mereka yang layak menerima manfaat SIP ialah pekerja yang mengalami pemberhentian biasa, skim pemisahan sukarela/bersama(VSS/MSS), bencana alam, rusuhan, kebakaran, kebocoran gas, syarikat bankrap dan penutupan perniagaan.

Selain itu mereka yang berhenti kerja kerana pengecilan operasi, kemungkiran terma atau syarat kontrak oleh majikan, diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan dan kesihatan serta perletakan jawatan disebabkan ugutan ke atas diri atau keluarga, atau disebabkan gangguan seksual juga layak mendapat manfaat daripada skim berkenaan.

Rang Undang-Undang SIP diluluskan Dewan Negara pada Disember tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS