Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semakin hampir Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN), semakin kuat serangan peribadi dilancarkan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Konvensyen HARAPAN akan diadakan di Shah Alam pada 7 Januari ini dengan iltizam memperteguhkan persefahamaan dan kerjasama sesama anggota pakatan itu.

Memang hairan melihatkan apabila semua peluru musuh iaitu dan BN dan sekutu baru Umno - PAS - menyasarkan peribadi Dr Mahathir sebagai pusat pelbagai andaian dan ramalan.

Ketika pemimpin lain HARAPAN bagaikan dilupakan dalam serangan itu, kredibiliti Dr Mahathir itulah yang dipersoalkan.

Apakah ini membayangkan BN dan sekutu baru Umno (PAS) terlalu bimbang dengan HARAPAN, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilihat begitu berpengaruh di Semenanjung Malaysia?

Ikut telunjuk 

Jelas sekali Umno berjaya mempengaruhi PAS, dan PAS pula sudah menunjukkan mereka mengikut 'telunjuk Umno’ untuk memperkatakan begitu banyak mengenai Dr Mahathir.

Selepas gagal mencemarkan nama baik Dr Mahathir melalui isu pemecatan Ketua Hakim Negara pada 1988, serangan kini ditujukan kepada Dr Mahathir melalui usaha ‘mempengaruhi pendapat awam’.

Isu-isu seperti Dr Mahathir akan kembali kepada Umno; Dr Mahathir sebagai bekas diktator tidak akan berjaya menjadi perdana menteri yang membawa pembaharuan; Dr Mahathir ditolak oleh PKR - satu daripada komponen parti dalam HARAPAN - sebagai Perdana Menteri; dan Dr Mahathir sudah tua dan peluang wajar diberikan kepada orang baru dan muda.

Usaha untuk mengolah pendapat dan sentimen rakyat ini semakin diratib, malah semakin dekat dengan konvensyen berkenaan, isu Dr Mahathir sebagai perdana menteri HARAPAN semakin diserlah.

Sebenarnya ia bukan sesuatu yang pelik kerana konvensyen itu bukan konvensyen biasa. HARAPAN dijangka mengumumkan calon perdana mereka mereka secara rasmi tidak lama kemudian.

Satu hal yang jelas ialah, pemimpin Umno/BN dan PAS tidak boleh menerima hakikat bahawa Dr Mahathir kini bersama-sama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk menumbangkan mereka bersama-sama PAS.

Hakikat bahawa 'impossible is nothing'- dan bukan lagi 'nothing is possibible' - amat sukar diterima oleh BN dan PAS.

Mereka sengaja buat-buat tak faham bahawa Dr Mahathir akan melakukan apa sahaja – termasuk dicerca dan diperlekehkan – untuk mewujudkan kerajaan yang dinamik, adil dan makmur demi rakyat.

Satu ciri jelas ditunjukkan Dr Mahathir ialah beliau tidak mengulangi atau mengheret kejayaan yang dicapai oleh pentadbirannya selama 22 tahun seperti Najib Razak yang cuba mempromosi dan masuk bakul serta mengangkat diri sendiri.

Dr Mahathir hanya memperkatakan apa yang akan beliau lakukan pada masa depan tanpa merujuk kepada apa yang sudah dicapainya selama ini.

Dasar-dasar baru yang mahu diperkenalkan oleh Dr Mahathir melalui perjuangan bersama HARAPAN bukan untuk mengenang kembali legasi dasar pentadbirannya tetapi lebih kepada apa yang mahu dicapai selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Inilah yang membezakan antara Dr Mahathir dan Najib. Manakala pemimpin politik agamawan dalam PAS akan terus berusaha menjaja janji-janji lama mereka seperti hudud, perlembagaan Islam dan dasar-dasar yang sebenarnya kini banyak persamaan dengan Umno.

Tuduhan Dr Mahathir akan menyertai Umno semula adalah dibuat sekadar untuk memeningkan otak rakyat dengan harapan ia dapat menghilangkan keyakinan mereka kepada pemimpin yang kini memasuki usia 93 tahun itu.

Bakar jambatan

Tuduhan melalui organ rasmi PAS, HarakahDaily bahawa rancangan terakhir Dr Mahathir mungkin berunding kembali dengan Umno adalah sesuatu yang langsung tidak masuk akal.

Ini kerana semua pemimpin tertinggi BERSATU sudah ‘membakar jambatan’ dengan Umno dan ia adalah perbuatan membakar yang berbeza daripada pemimpin Parti Semangat 46 sebelum ini.

Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan lain-lain tidak mudah dipujuk dengan tawaran jawatan kabinet atau kedudukan penting untuk membina semula jalan mereka kembali ke Umno.

Benar pemikiran dan gerakan politik Dr Mahathir sukar diramal, namun untuk kembali kepada Umno bukan satu pilihan yang akan dilakukan oleh beliau walaupun Najib terpelanting selepas PRU14 nanti.

Diakui juga kelicikan politik Dr Mahathir menyebabkan orang ramai sukar membaca gerak-gerinya, namun perjuangannya melalui HARAPAN amat jelas dan berfokus.

Kenyataan bahawa Dr Mahathir 'berjaya memperbodohkan pemimpin pembangkang' adalah penghinaan kepada pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan lain-lain.

Seolah-olah pemimpin itu semuanya bebal dan tidak melihat kejujuran Dr Mahathir untuk berjuang menentang Najib dan BN bersama-sama mereka.

Penerimaan Dr Mahathir terhadap pemimpin pembangkang dan sebaliknya berlaku atas keyakinan dan matlamat perjungan yang sama iaitu menumbangkan kerajaan kleptokrat.

Tuduhan bahawa pemimpin yang dulunya bermati-matian melawan beliau sampai meringkuk di penjara, lebam biji mata dan tempang dibalun FRU kini boleh mencium kaki beliau semata-mata untuk menaikkan perasaan untuk membenci Dr Mahathir.

Malah, kata-kata itu jelas cuba memperlekehkan pemimpin berkenaan – hanya kerana mereka bersedia menerima Dr Mahathir.

Kerana itu konvensyen HARAPAN pada Ahad ini bukan sekadar memperteguhkan ikatan persefahaman dan iltizam perjuangan bersama menentang BN tetapi juga untuk menilai siapa pemimpin terbaik untuk diangkat sebagai perdana menteri selepas HARAPAN menang dalam PRU14 nanti.

Cara Utusan Malaysia mempermainkan isu kononnya PKR membantah pencalonan Dr Mahathir sebagai perdana menteri pula lebih kepada usaha untuk memporak-perandakan HARAPAN yang akhirnya dilihat jalan mudah untuk BN menang pilihan raya.

Dr Mahathir sendiri berkata HARAPAN akan mengumum calon perdana menterinya selepas konvensyen nasional pada 7 Januari dan ia dibuat pada ketika spekulasi bertiup kencang bahawa ketua umum PKR yang dipenjara, Anwar tidak akan menyokong Dr Mahathir.

Menurut Dr Mahathir, HARAPAN tidak boleh menangguhkan pengumuman itu untuk meyakinkan rakyat mengenai siapa yang akan memimpin parti dan kerajaan selepas BN ditumpaskan.

Akhbar Umno

Cukup menghairankan ulasan Utusan Malaysia - tanpa menamakan sebarang sumber dalam laporannya - membuat spekulasi yang boleh dianggap sebagai 'berniat jahat’ bertujuan memberi kelebihan kepada BN.

Ia tidak pelik pun kerana Utusan Malaysia ialah akhbar Umno.

Di sebalik itu sesuatu yang positif ialah pembangkang mencari jalan untuk penyelesaian sebarang isu termasuk perdana menteri melalui semangat muafakat.

Tidak munasabah Ketua Umum HARAPAN tidak dimaklumkan mengenai sebarang masalah dan persoalan dalam pakatan itu.

Benar pemimpin HARAPAN perlu mengambil kira semua pendapat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Khabar angin dan kebenaran

Kita amat yakin apa yang akan dibincangkan pada konvensyen kelak adalah hasil daripada keputusan Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN yang terbaru.

Kerana itu Dr Mahathir berani mengatakan bahawa gabungan itu akan umumkan calon perdana menteri selepas konvensyen itu dan sebelum PRU14.

Malah pada satu soalan wartawan selepas mesyuarat majlis presiden itu menyebut bahawa Anwar didakwa berkata yang beliau tidak akan menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, pengerusi HARAPAN itu memberikan reaksi berikut: “Anda boleh lapor mana-mana khabar angin yang anda dengar, tetapi kebenaran akan diketahui di akhir konvensyen.”

Apa pun, faktor kemampuan, pengalaman, rekod kepimpinan, wujudnya hormat daripada rakyat dan pemimpin dalam HARAPAN dan mempunyai wawasan masa hadapan untuk semua rakyat sangat penting untuk kejayaan gabungan pembangkang itu.

Inilah kriteria sebenar untuk menentukan seorang perdana menteri daripada HARAPAN. Yang lain-lain hanyalah pendapat umum atau rekaan untuk mengusutkan HARAPAN.

Selamat bersidang kepada semua pemimpin HARAPAN.


 

HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar yang kini menjadi perunding media bebas. Beliau juga terbabit dalam politik melalui BERSATU.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


 

Lihat Komen
ADS