Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MH370: Pasukan baru sudah berlepas ke zon baru carian - laporan
Diterbitkan:  Jan 6, 2018 3:20 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Walaupun kontrak belum ditandatangani, sebuah pasukan persendirian dari AS untuk mencari pesawat MH370,  telah berlepas ke zon baru carian, demikian menurut laporan.

"Begitu berminat untuk memulakannya ialah mereka yang mengendalikan Ocean Infinity dan minggu ini mereka mengarahkan kapten kapal yang mereka sewa itu, Seabed Constructor milik kumpulan Swire, untuk berlayar dari Durban di Afrika Selatan menuju zon pencarian baru, walaupun kontrak muktamad dengan kerajaan Malaysia masih belum ditandatangani," lapor The Australian pagi ini.

Selain itu, Reuters semalam melaporkan kapal itu berlayar pada hari Selasa dan menuju ke Perth, demikian menurut data agensi perkapalan itu.

Semalam, AFP melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai berkata kontrak dengan Ocean Infinity akan ditandatangani minggu depan di Kuala Lumpur.

Menteri itu menambah firma tersebut akan terlibat dalam misi "tak jumpa tak ada bayaran", yang bermaksud pasukan itu hanya akan dibayar jika mereka menemui pesawat yang hilang itu.

Menurut The Australian, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi memberikan beberapa petunjuk tentang  perjanjian itu pada bulan Oktober, apabila beliau dilaporkan berkata kabinet telah bersetuju "untuk menyediakan peruntukan khas kepada Kementerian Pengangkutan yang berjumlah antara AS$20 juta dan AS$70 juta (RM296.35 juta) jika rangka pesawat MH370 berjaya ditemui dalam masa 90 hari".

Pesawat MH370, yang membawa 239 orang, hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac 2014. Australia, China dan Malaysia menamatkan pencarian di Lautan Hindi di selatan Australia pada Januari tahun lalu.

Artikel The Australian itu menggambarkan kumpulan Ocean Infinity sebagai "pasukan pakr jurutera antarabangsa, pakar teknologi maklumat, jurukur hidrografi, pakar kapal robot bawah dasar laut dan lain-lain lagi."

Ia memetik saintis David Griffin, yang mengesan unjuran tempat nahas MH370, yang dilaporkan berkata, "Ia adalah organisasi yang sangat mengagumkan. Mereka mempunyai peralatan yang hebat. "

Ocean Infinity merancang untuk menggunakan lapan AUV pada satu-satu masa dalam misi pencarian bebas itu, membolehkan ia mengimbas dasar laut untuk mengesan MH370 jauh lebih pantas daripada pencarian pertama, kata The Australian.

Sasaran lokasi

Griffin, saintis Pertubuhan Penyelidikan Perindustrian dan Saintifik Komanwel dan (CSIRO), yang mengetuai projek untuk mencari di mana MH370 terhempas berdasarkan beberapa serpihan pesawat itu yang hanyut ke seberang Lautan Hindi, telah bertemu dengan wakil Ocean Infinity di London bulan lepas untuk memberi mereka taklimat mengenai pencarian pertama.

Laporan itu berkata rancangannya ialah untuk mencari pesawat malang itu di zon baru seluas 25,000 km persegi ke utara di sebelah kawasan pencarian terdahulu.

"Malah, ATSB dan sebuah panel pakar Australia dan antarabangsa termasuk Griffin  telah mengenal pasti zon ini sebagai menjanjikan hasil,  sebelum pencarian pertama berakhir."

Ini berdasarkan kepada tiga petunjuk utama.

Pertama, kata akhbar itu, adalah “handshakes" elektronik pada Inmarsat yang menunjukkan di mana pesawat itu mungkin jatuh, dan dan kedua, serpihan yang ditemui di Afrika yang membolehkan dilakukan pemodelan drift terperinci.

Kajian itu, katanya, menunjukkan bahawa pesawat itu jatuh hanya di utara kawasan pencarian yang telah selesai.

Petunjuk ketiga muncul pada bulan Ogos tahun lepas apabila empat imej satelit tentang kemungkinan serpihan, yang dirakamkan dua minggu selepas MH370 hilang, telah dikaji semula.

Kajian itu mendorong fokus kepada dua jalur kawasan, yang keluasannya tidak lebih daripada 10km hingga 30km setiap satu.

"Laporan mereka meletakkan lokasi pesawat itu yang hampir pasti dan tepat pada kedudukan 35.6 darjah selatan, 92.8 darjah timur," katanya, memetik Geoscience Australia dan CSIRO.

Kerana Ocean Infinity merasakan ia mampu meninjau 1,200 km persegi sehari dengan menggunakan lapan AUV, perkiraan menunjukkan zon pencarian 25,000 km persegi itu boleh diliputi dalam tempoh tiga minggu, tambahnya.

Griffin dilaporkan optimistik akan berjaya mencari pesawat yang hilang itu di kawasan baru, dengan berkata, "Kami fikir ada peluang yang sangat baik.

"Jika anda bersedia mengambil risiko dan mencari, ini adalah tempat yang paling besar kemungkinannya. Bagaimana kemungkinan itu, saya tidak boleh menganggarkan. "

Sementara itu, ia juga dilaporkan satu e-mel, dihantar dari Pusat Sokongan Keluarga MH dan dilihat oleh Reuters, memaklumkan kepada pihak keluarga bahawa kerajaan Malaysia telah menerima tawaran Ocean Infinity.

Seorang jurucakap kerajaan enggan mengesahkan bahawa e-mel telah dihantar kepada pihak keluarga tetapi berkata butiran lanjut tentang perjanjian itu akan diketahui. Ocean Infinity tidak segera menjawab permintaan untuk komen, kata Reuters.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS