Most Read
Most Commented
Read more like this
Read more from this author

laporan penuh

Pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin telah dibebaskan hari ini selepas 23 hari ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1960.

Polis telah menahan Khairul Anuar di rumahnya di Bangsar Utama, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, mengikut seksyen 73 (1) ISA, kerana didakwa terbabit dengan kegiatan yang boleh ' mengancam keselamatan negara'.

Seorang lagi mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Fuad Ikhwan yang ditahan awal bulan ini, juga telah dibebaskan pada 16 Julai selepas 10 hari dalam tahanan.

Khairul Anuar, yang juga dikenali Jonah di kalangan kawan-kawannya, dibebaskan kira-kira jam 1.30 tengahari ini di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Seorang kakaknya, Azmah Ahmad Zainuddin bersama seorang kawan telah menunggu Jonah ketika dibebaskan untuk membawanya pulang.

" Jonah kelihatan sihat tetapi agak letih," kata kakaknya kepada malaysiakini .

Jonah yang kini sedang berehat di rumah kakaknya di Cheras, bercadang untuk pulang untuk berjumpa kedua-dua orang tuanya, Masjid Tanah di Melaka petang ini.

Kucing kesayangan

Sebelum itu, kata kakanya, Jonah sempat singgah di tempat kediamannya di Bangsar Utama untuk mengambil tiga ekor kucing kesayanganya bernama Hitam, Abang dan Siti tetapi sayang kucing-kucing itu sudah lesap.

Khairul Anuar, bekas pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik, IKM pada awalnya ditahan di depan balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur jam 9.30 pagi ketika mengiringi enam aktivis pelajar yang dikehendaki melapor diri .

Mereka dikehendaki melapor diri pada hari itu berikutan pembabitan pelajar dalam perhimpunan aman anti-ISA di perkarangan Masjid Negara pada 8 Jun lalu.

Sejam selepas itu, sekumpulan 10 anggota polis membawa Khairul Anuar ke bilik sewanya di Bangsar untuk menggeledah dan merampas beberapa kotak bahan bercetak, komputer dan video cakera padat (VCD) dari situ.

Sebelum itu, Jonah pernah menerima surat tunjuk sebab dari IKM pada 25 Jun lalu yang mengemukakan empat tuduhan ke atasnya berdasarkan hasil siasatan bahagian Cawangan Khas, ibu pejabat polis Bukit Aman.

Antara tuduhan tersebut, Jonah dituduh terlibat dalam kegiatan reformasi tajaan Parti Keadilan Nasional. Beliau diberi tugas untuk mendapatkan sokongan para siswa untuk menyertai perhimpunan di jalan raya dan beliau juga dituduh terbabit dalam kempen menyokong isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Damansara.

Berikutan itu, pihak IKM, mengambil tindakan tatatertib ke atasnya untuk menyingkir Jonah dari sekolah ketika beliau dalam tahanan kerana kegagalannya hadir untuk membela diri.

Sementara itu, menurut laporan akhbar hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumunkan kerajaan akan mengambil tindakan radikal ke atas pelajar Bumiputera yang terbabit dalam kegiatan keruntuhan moral, gejala sosial dan aktivis pelajar.

Tindakan itu antara lain mengetatkan kemasukan pelajar Bumiputera ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berdasarkan meritokrasi tanpa bantuan kerajaan.