Rakaman video lucah membabitkan seorang wanita dan kanak-kanak lelaki di bawah umur yang menggemparkan Indonesia minggu lalu dilapor disaksikan oleh ibu mangsa sendiri.
Pengarah Jenayah Am Polis Daerah Jakarta Barat, Umar Surya Fana, berkata wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang mangsa turut mengarahkan pembikinan filem lucah berkenaan.
"Dari bahasa percakapan antara kanak-kanak itu dengan salah seorang perempuan itu adalah ibu kandungnya sendiri.
"Di satu lokasi kejadian, ibu kandungnya ada di dalam bilik menyaksikan, bahkan mengarahkan anaknya sendiri (melakonkan babak lucah). Satu lokasi lagi, ibunya disyaki ada di luar bilik," katanya seperti dilapor BBC Indonesia.
Minggu lalu, pengguna media sosial di Indonesia dikejutkan dengan peredaran video pornografi yang dilakonkan seorang wanita dewasa dan beberapa kanak-kanak lelaki berusia antara 10 hingga 12 tahun.
Aktivis antikekerasan seksual terhadap kanak-kanak di Indonesia percaya pembikinan filem pornografi itu mungkin ada kaitan dengan sindiket yang menyasarkan golongan pedofil.
Pihak berkuasa juga mendapati tiga kanak-kanak yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak gelandangan dari Bandung yang berusia antara 7 hingga 13 tahun.
Lembaga Anti-Eksploitasi Seksual Komersial Anak Indonesia (ECPAT) juga percaya penglibatan sendiket di sebalik pembuatan video tersebut untuk "mempromosikan hubungan seksual antara kanak-kanak dengan orang dewasa".
Pada Sabtu pihak berkuasa Indonesia dilapor telah menganalisa tiga video pornografi dan rakaman CCTV di dua hotel yang dipercayai merupakan lokasi penggambaran.
Ketiga-tiga video itu terdiri daripada satu video yang berdurasi sekitar satu jam 11 minit dan dua video pendek yang masing-masing berdurasi dua dan 2 setengah minit.
