Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Wilayah sertai sidang Al Azhar sedunia
Diterbitkan:  Jan 7, 2018 2:40 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Malaysia terus dipandang tinggi oleh negara-negara Islam sedunia bagi membantu dan memberi pandangan mengenai isu-isu dunia Islam.

Terkini, ulama tersohor negara Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diundang khas mewakili negara ke Persidangan Al Azhar Sedunia Bagi Mendokong Sokongan Kepada Baitulmaqdis bagi membincang dan mencari penyelesaian mengenai isu membantah tindakan Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Persidangan anjuran bersama Al-Azhar As-Syarif dan Majlis Hukamak Muslimin itu berlangsung pada 17 dan 18 Januari ini di Al-Azhar Convention Centre, Kaherah, Mesir.

Zulkifli yang juga Mufti Wilayah Persekutuan diundang untuk memberi pandangan dalam persidangan yang dihadiri oleh ulama dan pemikir Islam dari seluruh dunia.

Al-Azhar As-Syarif adalah sebuah institut ilmu Islam terbesar di dunia dan berperanan memelihara warisan Islam di samping mempromosikan keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah dan penyelidikan serta membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat di seluruh dunia.


Antara badan-badan yang bernaung di bawah Institut Al-Azhar itu termasuklah Majlis Tertinggi Al-Azhar, Majlis Ulama Al-Azhar, Pusat Kajian dan Penyelidikan Al-Azhar, Universiti Al-Azhar dan Maahad Al-Azhar.

Zulkifli dalam satu wawancara khas memberitahu Bernama di Putrajaya baru-baru ini, Al-Azhar sentiasa prihatin dalam isu-isu melanda umat Islam khususnya dalam mempertahankan Baitulmaqdis iaitu kota suci ketiga bagi umat Islam.

“Melalui surat jemputan yang kami terima, turut menyatakan situasi terkini di Baitulmaqdis yang memberi kesan yang besar kepada dunia Islam susulan dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel”.

“Oleh itu, masyarakat dunia memerlukan satu rumusan daripada para ulama dan pemikir Islam yang diterajui oleh Al Azhar berkenaan isu yang melanda Palestin ketika ini”, katanya.

Beliau berkata persidangan tersebut bertujuan mencari titik kesepaduan dan kesepakatan dalam kalangan para ulama serta pemikir Islam untuk mengemukakan solusi terbaik berhubung isu Palestin.

Bantah AS

Katanya persidangan tersebut sangat signifikan dalam usaha mempertahankan Baitulmaqdis dari cengkaman Zionis Israel selain untuk menyeru umat Islam agar bersatu untuk membantah tindakan AS.

Persidangan itu juga dijangka disertai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan para pencinta keamanan dari seluruh dunia.

Antara agenda penting bakal dibincangkan, antaranya mengenai identiti Arab dan peranannya terhadap Baitulmaqdis, memulihkan kesedaran dunia tentang hak milik bandar itu serta tanggungjawab umat Islam terhadapnya.

“Insya-Allah saya akan hadir sebagai tanda sokongan kepada Al-Azhar As-Syarif dan tindakan berhikmah yang dilaksanakan selama ini di samping adanya usaha berterusan daripada pelbagai pihak untuk mengembalikan Baitulmaqdis kepada Palestin,” katanya.

Sementara itu, Al-Azhar dalam satu kenyataan dalam laman web rasminya berkata persidangan itu dijangka mengeluarkan satu resolusi berhubung isu rakyat Palestin dan mengesahkan hak-hak rakyat Palestin khususnya dalam usaha menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Selain itu persidangan berkenaan juga akan meminta semua pusat pengajian Islam memasukkan sejarah perjuangan ulama mempertahankan Baitulmaqdis sebagai kota suci umat Islam dalam kurikulum mereka.

“Al-Azhar juga akan membuat penambahbaikan kurikulum sekolah di bawah naungannya untuk memberi kesedaran awal kepada para pelajar tentang sejarah dan kesucian bumi Palestin”, menurut kenyataan itu.

Sejarah panjang telah membuktikan bahawa Baitulmaqdis adalah satu kawasan yang menjadi rebutan pelbagai pihak sejak dahulu lagi khususnya kepada penganut agama Islam dan Yahudi kerana kesucian dan kemuliannya termaktub di dalam semua kitab agama samawi.

Zulkifli berkata para ulama sepanjang zaman sentiasa berjuang mempertahankan Baitulmaqdis kerana terdapat padanya Masjid Al-Aqsa yang merupakan satu daripada tiga tempat paling suci umat Islam selain Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Sebagai contoh, para ulama Al-Azhar seperti Sheikh Gad al-Haq Ali Gad al-Haq, Syeikh Ali Tantawi dan Syeikh Ahmed Mohamed Al-Tayyeb sentiasa memainkan peranan penting dalam isu Baitulmaqdis, sehinggakan Maulana Abul Hasan Ali Al-Nadawi telah menulis karya khas berkenaan kepentingan palestin dalam kehidupan umat islam bahkan dianggap sebagai jantung hati mereka.”

“Ini membuktikan bahawa sejarah yang panjang tentang perjuangan ulama dalam menyatakan pendirian umat Islam tentang betapa pentingnya Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis,”katanya.

Beliau turut berkongsi kisah seorang pemimpin di zaman Uthmaniyah Sultan Abdul Hamid II yang menolak tawaran Theodor Herzl untuk membeli tanah Palestin sekalipun perlu bergadai nyawa untuk mempertahankannya.

Katanya tindakan Sultan Abdul Hamid II perlu dipuji walaupun ketika itu kerajaan Uthmaniyyah dianggap 'Orang Sakit Eropah' tetapi dengan semangat kental, mereka tetap tidak menggadaikan prinsip Islam.

Pada 6 Disember lepas, Presiden Trump mengumumkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, dan mengarahkan Jabatan Negara itu untuk memulakan proses memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar itu.

Zulkifli menjelaskan bahawa tindakan tersebut merupakan satu cabulan dan pelanggaran pelbagai keputusan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya menyokong tindakan masyarakat dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diketuai oleh Turki mengambil satu tindakan tegas dengan menganjurkan persidangan tergempar berkenaan Baitulmaqdis baru-baru ini”.

“Selain itu, Malaysia juga melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan satu ucapan berani dan tegas dalam isu ini”,katanya.

Hasil suara dunia, beliau melihat pelbagai keputusan dan resolusi dapat dikemukakan untuk mengembalikan hak kepada rakyat Palestin.

“Dari segi positifnya, kita dapat lihat semua negara Islam bersatu hati mempertahankan Baitulmaqdis dan mengembalikan hak bandar itu kepada rakyat Palestin,”katanya.


-Bernama

 

Lihat Komen
ADS