Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MUBARAK soal peranan Mukhriz dalam Opcom Holdings
Diterbitkan:  Jan 7, 2018 3:57 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, dilaporkan mempersoalkan peranan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam syarikat gentian optik Opcom Holdings Bhd.

Abdul Aziz berkata Mukhriz patut melepaskan jawatan serta-merta sebagai pengerusi syarikat itu selepas menjadi timbalan menteri perdagangan dan industri pada 10 April 2008 dan bukan setahun selepas itu.

Menurut laporan Berita Harian yang terbit hari ini, Abdul Aziz berkata terdapat konflik kepentingan kerana Mukhriz ialah pemegang saham dan pengerusi di syarikat itu dan dalam masa yang sama beliau menjadi timbalan menteri.

"Kesilapan lebih teruk jika beliau tidak mengisytiharkan kepentingan dalam kontrak berkenaan, perlu diteliti sama ada wujud atau tidak urus niaga membabitkan kepentingan antara syarikat berkenaan dengan Mukhriz ketika memegang jawatan Timbalan Menteri," Aziz dipetik sebagai berkata.

Menurut laman webnya, Opcom Holdings ditubuhkan pada November 1994 dan perniagaan utamanya membuat kabel gentian optik dan produk berkaitan. Pengerusi dan pengarah eksekutif serta CEO syarikat itu sekarang ialah Tan Sri Mokhzani Mahathir, abang kepada Mukhriz.

 

Laman web syarikat itu menyatakan Mokhzani dilantik sebagai pengarah syarikat pada 8 Mei 2009, manakala Berita Harian melaporkan Mukhriz (gambar) telah menubuhkan syarikat itu dan berkhidmat sebagai pengerusinya sehingga melepaskan jawatannya pada 5 Ogos 2009.

Mukhriz kekal menjawat kedudukan timbalan menteri sehinggalah Mei 2013 apabila beliau menjadi menteri besar Kedah berikutan pilihan raya ke-13.

Akhbar itu juga melaporkan Opcom memfailkan di Bursa Saham bahawa Mukhriz Mahathir menjual 43,600 saham dan 605,000 saham dalam syarikat itu, masing-masing pada 2 dan 3 Januari lalu.

Namun demikian, Mukhriz masih pemegang saham terbesar dengan memiliki 40.61 juta saham atau 25.18 peratus.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS