Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Tiga minggu berlalu, mana saman itu?
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 5:58 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa dirinya belum menerima saman fitnah walaupun tiga minggu sudah berlalu sejak pemimpin Umno itu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Ini berhubung kekeliruan Rafizi yang menamakan Raslan Dahlan, sebagai pemilik syarikat yang menganjurkan Ekspo Negaraku, sebagai abang Rahman.

Program yang diadakan di Dataran Merdeka itu bertujuan memaparkan pencapaian kerajaan selama ini. Ia diuruskan PICO Integrated Exhibit Sdn Bhd dan dianjurkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang berada di bawah Abdul Rahman.

Rafizi kemudiannya memohon maaf atas kesilapan itu tetapi berkata ia tidak sepatutnya mengalihkan tumpuan terhadap ekspo selama sebulan itu yang menelan belanja RM37 juta.

“Kira-kira tiga minggu yang lalu iaitu 14 Disember 2017, Datuk Seri Rahman dengan gahnya mengeluarkan kenyataan telah memulakan proses saman terhadap saya berhubung kenyataan-kenyataan saya mengenai Ekspo Negaraku.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya masih menunggu surat saman dari Datuk Seri Rahman Dahlan sehingga sekarang.

“Esok akan memasuki Selasa yang keempat sejak beliau mengumumkan mahu menyaman saya dan saya berharap ia bukan gimik seperti gimik ketuanya, Datuk Seri Najib Razak yang ingin menyaman Wall Street Journal tetapi belum disaman sehingga ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib mengancam untuk menyaman akhbar yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu kerana mendakwa bahawa perdana menteri menerima deposit berbilion ringgit yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya tetapi saman itu tidak diteruskan.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.

Rafizi berkata sementara menteri Umno itu menyiapkan saman berkenaan, beliau tetap mahu jawapan terhadap beberapa soalan yang pernah diajukannya mengenai ekspo tersebut.

Ini termasuk mengenai keperluan untuk membelanjakan jumlah yang besar serta mengapa pemberian kontrak tidak dipaparkan dalam portal perolehan kerajaan.

“Sehingga sekarang beliau belum menjawab kenapa Unit Perancang Ekonomi di bawah pimpinan beliau membelanjakan sehingga RM37 juta dalam keadaan kerajaan persekutuan mengutip cukai GST, mengejar orang perseorangan dan syarikat untuk mengutip cukai pendapatan dari tahun-tahun yang lalu dan harga barang terus kekal mahal.

“Sehingga sekarang beliau tidak menjawab langsung kenapa kontrak berjumlah RM37 juta itu langsung tidak ada rekod di dalam sistem perolehan kerajaan? Ia tidak dianugerahkan melalui tender terbuka, tender terhad atau rundingan terus.

“Tidak ada rekod perolehan kerajaan dari Perbendaharaan yang menunjukkan syarikat ‘event manager’ itu pernah melalui apa-apa proses perolehan seperti penganjuran acara-acara lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS