Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sejak berpisahnya PAS dengan PKR dan DAP, sejumlah kerusi yang dimenangi parti itu berkat pengundi bukan Melayu berada dalam bahaya, termasuk Temerloh yang diwakili ketua penerangannya Nasrudin Hassan.

Justeru ada cakap-cakap yang mendakwa Nasrudin akan melepaskan Temerloh untuk mencari "suaka" di kerusi-kerusi selamat di Terengganu atau Kelantan.

Beberapa sumber yang arif dengan keadaan di Temerloh memberitahu Malaysiakini desas-desus tentang soal itu semakin meningkat memandangkan beliau sendiri jarang kelihatan di sana.

Temerloh adalah kerusi majoriti Melayu separa bandar dan satu-satunya kawasan Parlimen yang dimenangi PAS di Pahang.

Berdasarkan data pilihan raya umum (PRU) ke-13, ia merangkumi 64 peratus pengundi Melayu, Cina (24 peratus) dan India (9 peratus).

Ketika itu, Nasrudin menewaskan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dengan majoriti 1,070 undi, atau 1.8 peratus.

Saifuddin mendapat majoriti undi Melayu manakala Nasrudin mendapat sekurang-kurangnya 70 peratus undi Cina. Boleh dikatakan pengundi Cina adalah punca Nasrudin dapat ke Parlimen.

Saifudin menyertai PKR pada 2015 dan kini menjadi ketua sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mendaki tangga PAS

Selaku tokoh dalam kumpulan proulama, Nasruddin mendaki hierarki PAS, daripada ketua pemuda kepada anggota Majlis Syura Ulama, autoriti tertinggi dalam parti itu.

Tahun lalu, beliau bertanding bagi jawatan naib presiden tapi tewas dengan beberapa ratus undi. Beliau kemudian dilantik semula sebagai ketua penerangan.

Selepas PAS memisahkan diri daripada Pakatan dan dilihat semakin mesra dengan Umno, semakin ramai pengundi bukan Islam yang kecewa dengan parti itu.

Jika Nasrudin ingin bertanding mempertahankan kerusinya di Temerloh, beliau berisiko kalah.

Ada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen itu, iaitu Kuala Semantan, Lancang dan Mentakab.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan daripada AMANAH, Syed Hamid Syed Mohamed (gambar) menyifatkan Nasrudin sebagai "beban" kepada PAS Pahang, dan merasakan beliau tidak akan mempertahankan Temerloh.

"Nasrudin mungkin tidak akan bertanding (di sini) kerana beliau tidak berkhidmat kepada penduduk di sana," katanya.

Saifuddin pula ketika dihubungi mendakwa Nasrudin mungkin akan bertanding di Kelantan atau Terengganu.

"Beliau tidak akan dapat undi Cina yang cukup ekoran pendirian PAS, dan beliau sendiri, dalam beberapa isu. Pengundi Melayu pula mempersoalkan beliau jarang muncul di Temerloh, dan kalau ada pun hanya dalam bentuk ceramah," katanya.

Nasrudin bagaimanapun menyangkal kritikan itu, dan menjelaskan punca beliau jarang kelihatan di Temerloh mutakhir ini kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

"Ketika sidang Parlimen lalu, ligamen saya cedera dan perlu berehat lebih sebulan. (Tiada di Temerloh) tidak benar, saya sentiasa turun ke sana," katanya.

Jalan yang berliku

Ketika ditanya sama ada akan mempertahankan kerusinya, Nasrudin enggan memberi pengeshan dan hanya berkata, keputusan adalah bergantung kepada parti.

"PAS akan mempertahankan Temerloh, tetapi siapa yang akan dicalonkan, itu adalah kuasa parti.

"Bukan saya yang bertanding, tetapi parti. Individu hanyalah mewakili parti (dalam pilihan raya). Jika PAS takut, ia tak akan bertanding, tetapi (hakikatnya) PAS akan mempertahankannya," katanya lagi.

Malaysiakini mendapat maklumat bahawa jika Nasrudin berpindah ke Parlimen lain, Yang Dipertua PAS Temerloh Jusoh Darus dijangka akan menggantikannya. Seorang lagi tokoh berpotensi adalah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Namun, memandangkan keadaan di Temerloh kini tidak berpihak kepada PAS, tentulah imej parti itu akan tercemar jika pemimpin kedua tertingginya tewas dalam pilihan raya.

Pakatan Harapan (HARAPAN) pula akan diwakili AMANAH, dan kemungkinan besar Syed Hamid akan dicalonkan di situ.

Keluarnya Saifuddin daripada Umno meninggalkan kekosongan bagi posisi calon di situ. Ketua Umno Bahagian Temerloh Datuk Mohd Sharkar Shamsudin dikatakan akan mengisinya.

Dilihat sebagai seorang yang setia kepada Datuk Seri Najib Razak, beliau merupakan exco kerajaan Pahang dan ADUN Lancang selama empat penggal. Beliau juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang dan anggota Majlis Tertinggi Umno.

Di saat PAS berjuang untuk mempertahankan satu-satunya kerusi Parlimennya di Pahang, dan akan berhadapan dengan AMANAH dan BN untuk matlamat itu, Temerloh menjadi kerusi Parlimen paling panas di negeri itu.

Lihat Komen
ADS