Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhbar S'pura tersalah lapor ceramah saya - pengerusi Bernama
Diterbitkan:  Jan 10, 2018 3:53 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Wartawan veteran Datuk Seri Azman Ujang menafikan sekeras-kerasnya laporan yang disiarkan akhbar Straits Times of Singapore hari ini yang memetik beliau sebagai berkata Barisan Nasional akan berdepan cabaran getir dalam pilihan raya umum akan datang “disebabkan ketidakpuasan umum berhubung skandal kerajaan dan isu berkaitan kos sara hidup.”

Dalam penafian yang dikeluarkan itu, Azman berkata akhbar berkenaan tersalah lapor tentang kenyataannya dan komen sedemikian sebenarnya dibuat oleh seorang lagi anggota panel dalam ‘Regional Outlook Forum’ anjuran Institut Kajian Asia Tenggara di Singapura.

“Tindakan akhbar itu yang terkeliru dengan perkara yang diperkatakan oleh orang lain dan sebaliknya menganggap kenyataan itu daripada saya bukan sahaja amat dikesali tetapi juga tidak beretika,” kata Azman, yang juga pengerusi Bernama.

Azman berkata sebenarnya, beliau menyatakan dalam forum itu bahawa adalah amat mudah bagi BN untuk memenangi pilihan raya umum kali ini berbanding dua pilihan raya sebelum ini.

“Malah saya juga memetik keputusan tinjauan pendapat umum yang dijalankan oleh Merdeka Centre bahawa BN bakal meraih semula majoriti dua pertiga yang tidak diperoleh gagasan itu pada pilihan raya umum 2008 dan 2013,’ ’katanya.

Laporan itu turut disiarkan portal berita Malaysiakini.

Azman menegaskan dalam forum itu, beliau sama sekali tidak pernah menyatakan apa juga perkara berkaitan “skandal kerajaan atau isu kos sara hidup” seperti yang dilaporkan oleh akhbar Singapura itu.

“Oleh kerana saya sendiri seorang wartawan, saya tidak faham bagaimana sebuah akhbar yang mempunyai kaliber seperti Straits Times memetik kenyataan orang lain tetapi merujuk kenyataan itu kepada saya disebabkan dua anggota panel yang bercakap dalam forum berkenaan tentang pilihan raya umum yang bakal diadakan Malaysia adalah dua individu yang berbeza,” katanya.

Azman berkata beliau telah meminta wartawan akhbar terbabit supaya melakukan pembetulan yang sewajarnya dan membuat penjelasan berhubung laporan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS