Paling Popular
Terkini

ULASAN | Ramai menyangka duit yang diterima daripada salah urus tadbir boleh digunakan untuk mengayakan anak, isteri dan keluarga - seperti tuduhan ke atas Najib Razak, contohnya.

Ada juga tuduhan bahawa duit 1MDB itu masuk ke akaun peribadi Najib supaya ia boleh digunakan oleh Rosmah Mansor untuk membeli beg tangan Birkin.

Ia adalah "kemungkinan" namun untuk memahami bagaimana sesuatu wang itu keluar masuk, kita perlu memahami lebih daripada sekadar itu.

Masakan seseorang politikus perlu memiliki begitu banyak kereta untuk kegunaan beliau?

Tidak! Itu kita panggil penggubahan wang haram - atau money laundering kalau dalam bahasa orang putih. Ia bagi membersihkan wang daripada haram menjadi halalan toyyiban.

Dalam siri TV House Of Cards, watak Frank Underwood ada menyebutkan dialog ini: “He chose money over power - in this town - a mistake nearly everyone makes. Money is the McMansion in Sarasota that starts falling apart after 10 years. Power is the old stone building that stands for centuries" (Dia memilih duit berbanding kuasa – di tempat ini - ia kesilapan yang dilakukan hampir semua orang. Duit adalah McMansion (bangunan besar) di Sarasota yang akan jatuh selepas 10 tahun. Kuasa ialah bangunan lama yang akan berdiri berabad-abad lamanya).

Dalam politik, duit bukanlah penyebab pada korupsi, tetapi kuasa. Atau mungkin lebih tepat lagi, ketakutan kepada kehilangan kuasa.

Pemenang Anugerah Nobel untuk kesusasteraan, John Steinbeck berkata: “Power does not corrupt. Fear corrupts… perhaps the fear of a loss of power” (Kuasa tidak menjadikan seseorang korup. Ketakutanlah yang menjadikannya begitu... mungkin ketakutan akan kehilangan kuasa).

Dengan ketakutan itu, manusia akan berbuat apa sahaja untuk kekal berkuasa, apatah lagi apabila mereka berada di penghujung kekuasaan. Dan duit, sudah tentu kekuatan bagi orang-orang yang berkuasa.

Duit yang banyak diperlukan bukan saja untuk membelikan isteri jam tangan Richard Mille Lady RM 007, atau dihadiahkan kepada anak untuk menerbitkan filem The Wolf Of Wall Street.

Bukan.. bukan. Itu cuma jalan-jalan menjadikan duit itu halalan toyyiban, seperti yang dijelaskan tadi.

Penawar sakit sembelit

Duit perlu disuap kepada orang yang duduk di kiri dan kanan agar kesetiaan mereka terjamin. Duit diperlukan untuk membayar sebilangan orang di setiap kawasan DUN dan parlimen. Duit dicurah seperti coklat yang mencurah-curah ke ladang gandum.

Duit yang banyak memerlukan pelaburan besar dan sebagai seseorang yang berada di tampuk kuasa, sudah tentu duit itu datangnya dari dana negara - atau negeri - dan datang dari poket rakyat.

Dengan sedikit hujah ini, kita sedikit sebanyak faham akan bahaya kuasa, dan manusia di dalam sebuah kerajaan.

Manusia akan tetap menjadi manusia. Manusia tidak akan menjadi malaikat. Kata Thomas Paine kerajaan - dalam keadaannya yang terbaik - adalah kejahatan yang perlu, tapi dalam keadaan terburuk ia tidak boleh diterima sama sekali.

Perkara ini diterima oleh sarjana dan cendekiawan dari beberapa jalur spektrum ekonomi yang percaya, disebabkan hal inilah kuasa sesebuah kerajaan perlu untuk dikurangkan.

Kita juga perlu sedar, konsep kuasa dan kerajaan ini - antara lain - adalah faktor yang memisahkan Mikhail Bakunin dan Karl Marx dalam Internasionale Pertama, yang akan diperjelaskan dalam penulisan seterusnya.

Ada yang menyangka bahawa, menukar kerajaan akan mengubah segala-galanya. Menukar kerajaan akan memulihkan institusi yang rosak, menghapuskan amalan rasuah, memperbaiki ekonomi, malah akan menyembuhkan penyakit sembelit!

Untuk ini, mungkin juga ada betulnya (selain daripada menyembuhkan penyakit sembelit). Seperti misalnya dalam karya agung Ibn Khaldun, Mukaddimah (1377), yang menjelaskan soal kitaran sebuah empayar melalui Teori Kitaran.

Ia menerangkan bagaimana jatuh bangun sesebuah empayar, serta menjelaskan lima tahap peradaban dan kemudian akan memunculkan tiga generasi.

Bagi mengelakkan tulisan ini panjang berjela, pembaca dinasihatkan membaca Mukaddimah atau membaca terus ulasan berkaitan buku tersebut, terutamanya mengenai Teori Kitaran.

Tak ambil peduli

Apa yang penting, setiap kerajaan yang baru - atas sokongan rakyat - pada tahap awalnya akan berusaha sedaya mungkin untuk sekurang-kurangnya dilihat lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Maka akan ada sedikit sebanyak pembaharuan dan kebaikan yang akan dinikmati rakyat daripada perubahan yang berlaku.

Namun menarik juga untuk dibangkitkan ialah kemunculan tiga generasi daripada lima tahap yang muncul dalam pembangunan negara.

Ia bermula dengan generasi pembangun, berubah menjadi generasi penikmat, seterusnya generasi terakhir sebelum kejatuhan - generasi yang tidak lagi memiliki hubungan emosional dengan negara.

Generasi akhir ini akan melakukan apa saja tanpa mempedulikan sedikit pun nasib negara.

Tidak salah untuk dikatakan, kita sedang melahirkan generasi ketiga menurut Teori Kitaran Ibn Khaldun.

Pemuda, khususnya, kini bersikap tidak lagi mengambil peduli akan nasib bangsa. Hal ini antara lain disebabkan keadaan ekonomi yang mundur membuatkan kita hanya memikirkan tentang kelangsungan sendiri.

Kita menjadi individualistik dan tanpa sedar tidak memberi kebaikan untuk jangka masa panjang. Ini adalah strategi pecah dan perintah pascamerdeka.

Untuk memecahkan kebuntuan ini, sudah tentu ‘kitaran’ ini perlu terus bergerak. Jika tidak, kita akan tersangkut pada tahap kelima (kejatuhan) dengan generasi ketiga.

Melihat kepada alternatif yang ada pada kerajaan sekarang, sudah tentu ramai yang menggaru kepala. Malah ada yang menganggap, usaha mereformasi kerajaan daripada pembangkang sebagai lucu. Apatah lagi kini mereka di ketuai oleh seorang yang pernah dituduh diktator.

Keraguan lama sejak berabad

Ubah mentaliti - ya inilah slogan yang selalu dilaungkan.

Mari kita kembali kembali ke tahun 1930-an.

Ketika membicarakan tentang pelbagai organisasi Melayu pada era itu, Rustam A Sani dalam bukunya Ke Mana Nasionalisme Melayu? menyatakan, “Gerakan-gerakan (yang wujud pada 1930-an) itu tidak antikolonial sifatnya, kerana menentang pemerintahan kolonial (penjajah Inggeris) tidaklah dipersepsikan sebagai berlainan daripada menentang pemerintahan raja-raja Melayu sendiri”.

Gerakan-gerakan awal menuntut kemerdekaan ditentang, dituduh gila, malah dituduh menderhaka kepada kerajaan.

Hal ini berlarutan walaupun sehingga pertubuhan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) dibentuk.

Malah ketika UMNO diwujudkan pada 1946, cakap-cakap begini masih berterusan.

Misalnya keraguan terhadap kemampuan mentadbir sendiri negara selepas ratusan tahun dijajah, dibangkitkan. Begitu juga dengan cakap-cakap yang memperlekehkan keadaan semasa negara.

Justeru wujud ketakutan yang muncul secara organik kesan kelaziman hidup. Namun akhirnya kemerdekaan dicapai juga pada tahun 1957 lalu cakap-cakap tadi terhenti. Negara terus dibangun dengan tahap-tahapnya persis Teori Kitaran tadi.

Jatuhkan sesiapa yang gagal

Hari ini juga tidak banyak bezanya. Kerana ia adalah sebuah kitaran, akhirnya kita berputar dan kembali kepada keadaan seperti sebelumnya.

Selepas 60 tahun merdeka - malah sejak pilihan raya pada 1955 - kita tidak pernah mengubah kerajaan.

Wujud keterbiasaan baru dan ketakutan lama iaitu bagaimana jika perubahan berlaku.

Bagaimana dengan nasib orang Melayu? Siapa yang akan membela Melayu?. Ini antara persoalan yang bermain dan merencatkan kitaran yang ada.

Tanyalah kepada sesiapa pun terutama di luar bandar, inilah persoalan yang selalu dibangkitkan.

Persoalan ini persis persoalan sebelum merdeka. Persoalan ini juga hanya bisa dipecahkan dengan mengubah kerajaan. Perubahan perlu bukan saja untuk mengubah kerajaan sebaliknya memastikan kitaran itu kembali bergerak.

Ia penting bagi mengubah mentaliti masyarakat untuk tidak lagi takut berubah pada masa akan datang.

Lalu apabila tiba masanya, kerajaan baru ini harus digantikan pula dengan kerajaan yang lain pula.

Maka, aku adalah antara jutaan manusia yang akan keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang, dengan harapan, kerajaan sedia ada mampu dijatuhkan.

Dan aku jugalah yang akan bersama barisan hadapan untuk menjatuhkan kerajaan baru nanti apabila mereka gagal.


AMIR ABD HADI ialah jurucakap Liga Pemuda, sebuah gerakan yang sebelum ini dikenali sebagai Demi Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS