Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perhambaan seks: PM Jepun tolak pendirian terkini Seoul
Diterbitkan:  Jan 12, 2018 3:31 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

GLOBAL Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada hari Jumaat berkata beliau tidak dapat menerima pengumuman kerajaan Korea Selatan bahawa isu perhambaan seksual wanita Korea oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua belum diselesaikan menerusi satu perjanjian yang telah dicapai pada 2015, lapor agensi berita Yonhap memetik laporan media tempatan.

Kyodo News memetik Abe sebagai berkata pada pertemuannya dengan pemberita bahawa perjanjian itu adalah antara kerajaan dengan kerajaan dan pendirian terkini Seoul berhubung perkara tersebut tidak boleh diterima.

Abe turut mengulangi gesaannya agar Korea Selatan berpegang pada perjanjian itu.

Isu perhambaan seksual ketika perang yang berlarutan sejak sekian lama muncul semula dan telah menegangkan hubungan antara kedua-dua jiran berkenaan selepas Seoul baru-baru ini membuat kesimpulan bahawa terdapat kecacatan serius dalam perjanjian 2015, yang bertujuan menyelesaikan pertikaian itu.

Di bawah perjanjian yang dicapai pada 28 Dis 2015, Korea Selatan dan Jepun sepakat untuk menyelesaikan isu "comfort women" secara muktamad serta tidak boleh ditarik balik."

Tokyo telah memohon maaf dan menjanjikan satu bilion yen (US$8.9 juta) kepada sebuah yayasan yang didedikasikan untuk membantu mangsa.

Bagaimanapun, ia mengundang kritikan keras mangsa dan beberapa kumpulan sivik yang mendakwa bahawa permohonan maaf Jepun adalah tidak ikhlas dan kerajaan negara itu tidak berunding dengan mereka terlebih dahulu.

Sesetengah pihak mendesak agar rundingan semula diadakan atau Korea Selatan menarik diri daripada perjanjian itu.

Merumuskan semakannya yang memakan masa sebulan, kerajaan Moon Jae-in pada Selasa mendesak agar Jepun mengambil beberapa langkah tambahan, termasuk memohon maaf secara ikhlas, bagi membantu mangsa menyembuhkan luka serta menebus kembali maruah mereka.

Kerajaan itu turut berikrar untuk menyediakan dananya sendiri bagi membantu mangsa terbabit daripada menggunakan wang yang ditawarkan oleh Jepun.

Bagaimanapun, ia tidak memutuskan untuk meminta rundingan semula atau menarik diri daripada perjanjian itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS