Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: Penternak ikan sangkar Temerloh rugi berpuluh ribu
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 11:32 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Banjir gelombang pertama yang melanda beberapa daerah awal bulan ini termasuk Temerloh bukan sahaja menjejaskan harta benda tetapi turut menyebabkan pengusaha ikan sangkar di sini mengalami kerugian selepas ternakan mereka mati.

Menurut mereka antara faktor yang menyebabkan ikan-ikan itu mati ialah arus kuat pada 1 dan 2 Jan lalu semasa paras air Sungai Pahang mula naik.

Khaidir Ahmad, 55, dari Kampung Tebing Tinggi, Lebak di Temerloh berkata dia mengalami kerugian lebih RM33,000 apabila ikan patin, tilapia dan kerai peliharaannya mati.

Menurutnya arus sungai yang kuat berbanding biasa ketika banjir menyebabkan ikan luka akibat bersesak dan terhimpit ke dinding sangkar.

"Selain itu, berdasarkan pengalaman sebagai penternak, kematian ikan ini dipercayai berpunca daripada kekeruhan air sungai yang tinggi menyebabkan insang ikan diselaputi lumpur hingga sukar mendapatkan oksigen," katanya ketika dihubungi di sini.

Jangkitan bakteria

Menurutnya jangkitan bakteria pada bahagian mata dan sisik akibat kemerosotan kualiti air Sungai Pahang juga dipercayai antara punca ikan-ikan terbabit mati.

Khaidir berkata banjir baru-baru ini juga menyebabkan tiga sangkar ikan miliknya pecah dilanggar balak hanyut dan satu hilang dibawa arus.

Menurutnya lebih 5,000 ikan patin dan tilapia serta 300 ikan kerai peliharaannya mati pada banjir kali ini, iaitu antara paling buruk pernah dialaminya selepas kerosakan semasa banjir besar pada 2014, sepanjang sembilan tahun sebagai pengusaha ikan sangkar.

Seorang lagi penternak, Mohd Zahran Ishak, 27, berkata perubahan suhu air turut menyumbang kepada kematian ikan semasa banjir.

Berdasarkan pengalamannya, kuantiti air yang banyak selain kekeruhan dan pencemaran menjadi penyebab kematian ternakan ikan sangkar semasa musim bah.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Pahang telah mengambil sampel ikan hidup bagi mengesan punca kematian beribu ekor ikan sangkar milik penternak di Temerloh.

Laporan kematian ikan

Pegawai Perikanan Temerloh Mohd Shahidan Roslan berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada bahagian biosekuriti Perikanan Pahang sebaik sahaja menerima laporan kematian ikan milik beberapa pengusaha di Temerloh.

Menurutnya pemantauan awal mengesyaki kematian ikan patin dan tilapia itu berpunca daripada tekanan air yang kuat semasa banjir baru-baru ini.

"Ini berdasarkan siasatan mendapati kebanyakan ikan yang mati berada di sangkar paling depan di mana arus sangat kuat.

"Ikan ini mati dalam tempoh empat ke lima hari sebelum ini dan timbul secara berperingkat, mungkin ada luka badan akibat pergeseran sesama sendiri di dalam sangkar ketika arus deras.

"Selain itu ikan kerai yang mati kami syak berpunca daripada jangkitan bakteria, namun untuk lebih pasti kita akan ambil sampel ikan hidup ke makmal untuk diuji," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS