Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengkorporatan kastam ditangguh untuk kajian menyeluruh - KP
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 2:24 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Pengkorporatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dijadual dilaksana bulan ini telah ditangguhkan bagi memberi ruang kepada jabatan itu menjalankan kajian lebih terperinci berhubung langkah tersebut.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam berkata, pihaknya dalam proses melawat beberapa negara seperti Australia, Afrika Selatan, Singapura dan United Kingdom bagi melihat bagaimana kastam di negara tersebut menguruskan organisasi mereka.

"Bergantung kepada kajian yang kita buat, pihak pengurusan tertinggi akan pergi ke beberapa negara untuk melihat model mereka kemudian kita akan sediakan kertas Kabinet.

"Jadi belum ada keputusan... kita akan kaji kemungkinan pengkorporatan ini, sebab kita tidak boleh terburu-buru buat sesuatu perubahan... jadi terpulang kepada kerajaan (untuk menilai) selepas kita buat laporan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan (DEPP) Kali Ke-12 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Pada 13 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, pengkorporatan itu merupakan ganjaran kerajaan kepada jabatan tersebut atas kecemerlangannya di mana petugas akan menikmati skim perkhidmatan yang lebih baik.

Pada September lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, JKDM akan dikorporatkan Januari tahun ini berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mengenai kutipan GST pada tahun lalu, Subromaniam berkata, kastam mencapai sasaran RM42 bilion yang ditetapkan, namun maklumat lengkap mengenai kutipan tersebut hanya akan diumumkan perdana m enteri.

"Jadi saya minta jangan politikkan GST, kembali kepada SST adalah tidak masuk akal kerana hampir satu dunia menggunakan sistem GST. Lagipun cukai ini mampu melonjakkan Malaysia dari segi daya saing dalam ekonomi," katanya.

Mengulas mengenai program DEPP kepada anggota JKDM, beliau berkata, usaha sama antara pihaknya dengan UUM itu bertitik tolak daripada memorandum perjanjian yang ditandatangani pada 2014 yang membolehkan 50 pegawai kastam kumpulan pertama mengikuti program DEPP.

Kebanyakan mereka, katanya, merupakan anggota sokongan berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia di mana mereka perlu mengikuti pengajian tersebut selama empat semester dengan tenaga pengajar dari UUM dan kastam sendiri.

"Ia akan membantu pegawai ini dalam karier mereka dan kami sedang memikirkan untuk mewujudkan jawatan dikenali sebagai Penolong Juruaudit dan Penolong Pegawai Siasatan yang memerlukan kepakaran dari segi perakaunan.

"Melalui program seperti ini ia akan memantapkan pegawai kita dan secara tidak langsung mereka juga layak dipertimbangkan untuk jawatan yang lebih tinggi," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS