Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pelajar sekolah rendah tidak wajar ditampar atau dirotan kerana ia akan menyebabkan mereka tidak berminat untuk ke sekolah, kata Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin.

Abdul Raof berkata, secara peribadi beliau juga tidak bersetuju murid di sekolah rendah dipukul.

Ini kerana, menurut beliau pendidik sepatutnya melindungi anak murid seperti anak sendiri serta menggunakan mekanisme terbaik untuk mendidik.

"Pada pandangan peribadi saya yang telah jadi pengetua 13 tahun dan menjadi guru sembilan tahun, saya tak setuju guru menampar, merotan budak-budak. Apatah lagi murid sekolah rendah.

"Murid seperti ini sepatutnya kita didik, ubah.

"Apa cara sekali pun, jangan merotan, merotan di khalayak terutama sekolah rendah. Budak sekolah rendah ni bila ditampar mereka tak minat untuk ke sekolah. Itu psikologi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Kebangkitan Ummah (gambar, atas) di ibu negara hari ini.

Abdul Raof berkata demikian sebagai mengulas soalan hadirin yang bertanya tentang isu guru yang didakwa di mahkamah.

Baru-baru ini terdapat isu melibatkan guru didakwa di mahkamah antaranya guru di Nilai Azizan Manap serta di Nibong, Pulau Pinang Noor Idzahril Ahmad.

Kedua-dua guru itu dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada murid.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan, 44, seorang guru penolong kanan hal ehwal murid.

Cikgu Idzahril, 52, pula dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada muridnya yang berusia sembilan tahun pada 2 Ogos 2017.

Proses mahkamah kini di peringkat pendengaran kes.

Guru sekolah kebangsaan di Nibong Tebal itu berdepan hukuman penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
 

Lihat Komen
ADS