'K'jaan patut berunding, bantu pindah patung sebelum robohkan'

   

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya Liow Cai Tung berkata, atas dasar kemanusiaan, kerajaan seharusnya berunding dengan pemilik tanah yang sebelum ini menempatkan kuil Hindu di Masai, Johor.

Selain itu, Liow berkata kerajaan juga seharusnya membantu dalam proses memindahkan patung dewa dewi di kuil itu sebelum dirobohkan.

“Walaupun dari segi undang-undang pihak persatuan kuil tidak memilik tanah, tetapi, atas dasar kemanusiaan pihak kerajaan harus menyekat segala perancangan yang akan dijalankan di atas tanah tersebut sehingga masalah kuil selesai.

“Sebagai contoh, di Selangor dan Pulau Pinang, pampasan atau pemindahan tempat ibadat akan dirunding dan dibuat sebelum segala perobohan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang diadakan di tapak kuil Sri Siva Sakti Sri Sinna Karuppar Aalayam yang dirobohkan 11 Jan lalu.

Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang Prof Dr Ramasamy Palanisamy turut hadir dalam perjumpaan itu.

Liow memetik ahli jawatankuasa persatuan berkenaan yang mendakwa terdapat percanggahan tarikh perobohan selain polis yang bertindak menyekat simpang masuk ke kuil.

“Mereka telah diberi tangguhan roboh sehingga 13 Januari. Namun, pihak polis dan pihak kontraktor telah datang pada 11 Januari dan menyekat persimpangan masuk ke kuil.

“Robohan dijalankan dan mereka tidak dibenarkan masuk sehingga tidak dapat mengalihkan patung dewa-dewi yang masih terletak dalam kuil,” katanya.

Susulan itu, menurut Liow lagi, komuniti India tempatan kehilangan sebuah tempat ibadat yang penting yang mempunyai sejarah 80 tahun.

Liow menambah, kerajaan seharusnya mengambil berat dengan isu-isu yang melibatkan kaum dan agama kerana ia merupakan isu sensitif bagi rakyat di negara yang mempunyai berbilang kaum dan agama.

“Pihak kerajaan negeri harus membuat rundingan sebelum kuil dirobohkan dan memberi keutamaan untuk memelihara kuil tersebut.

“Tetapi malangnya, peristiwa ini telah menunjukkan kerajaan negeri gagal dan tidak prihatin serta mengabaikan kepentingan komuniti tempatan,” katanya.

Perobohan kuil berkenaan mendapat perhatian media dan menyebabkan kecaman daripada pelbagai pihak. 

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua pihak bertenang dan berjanji kerajaan negeri akan menawarkan penyelesaian yang munasabah dan adil untuk semua.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.