Paling Popular
Terkini

ULASAN | Mutakhir ini banyak kita dapati kes jenayah melibatkan individu yang memegang pingat kebesaran Datuk, Datuk Seri dan sebagainya.

Senario ini agak membimbangkan. Ia boleh menyebabkan penerima pingat kebesaran tidak lagi dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Keadaan ini juga serba sedikit boleh menjejaskan reputasi baik institusi beraja itu sendiri.

Saya berpendapat sudah tiba masanya satu undang-undang khusus perlu digubal untuk mempastikan hanya individu yang benar-benar layak saja dicadangkan untuk dianugerahkan pingat kebesaran oleh sultan, raja mahupun yang dipertuan negeri (YDN).

Kelayakan tersebut perlulah melihat kepada kriteria-kriteria khusus iaitu sejauh manakah sumbangan sebenar penerima kepada masyarakat, agama bangsa dan negara.

Elok juga dapat ditetapkan satu had umur minimum seseorang untuk layak dianugerahkan pingat kebesaran. Misalnya berumur 45 tahun ke atas - melainkan beliau dengan jelas memberikan sumbangan yang tidak dapat dipertikaikan terhadap masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Dicadangkan juga satu jawatankuasa bebas di peringkat negeri atau persekutuan dibentuk bagi melihat, menapis, mempertimbangkan dan seterusnya mencadangkan nama-nama penerima pingat kepada sultan, raja atau YDN.

Ini bertujuan untuk mempastikan hanya mereka yang benar-benar berkelayakan sahaja dianugerahkan pingat kebesaran demi menjaga kualiti penerima pingat-pingat tersebut.

Selain daripada itu dicadangkan seandainya penerima pingat kebesaran ini disiasat atau didakwa terlibat dengan sesuatu jenayah, pingat dan gelaran tersebut secara otomatik digantung buat sementara waktu.

Sekiranya diputuskan bersalah oleh mahkamah, pingat tersebut akan dilucutkan secara automatik dan hendaklah dikembalikan.

Walaupun segala urusan penganugerahan pingat kebesaran ini adalah di bawah bidang kuasa sultan, raja dan YDN, kerajaan boleh menggubal undang-undang tertentu sebagai garis panduan untuk mempastikan hanya orang yang benar-benar layak dan bebas daripada jenayah menerima memegang pingat kebesaran tersebut.

Pingat kebesaran tidak patut dijadikan sebagai 'modal' untuk seseorang melakukan apa saja sehingga sanggup melanggar undang-undang negara. Sebaliknya ia wajar dijadikan sebagai motivasi kepada diri sendiri dan orang lain untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.


SALKUKHAIRI ABD SUKOR ialah peguam bela dan peguam cara, serta 
pengasas dan mantan presiden HartaGuam.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS