Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Apakah benar Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed aka Tok Pa, telah memberontak terhadap bosnya, Datuk Seri Najib Razak?

Banyak orang mungkin terlepas pandang akan keberanian luar biasa yang tiba-tiba dipamerkan oleh Mustapa di arena politik Umno sejak kebelakangan ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu telah membuat beberapa kenyataan yang inti patinya ialah BN akan berusaha keras merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum tahun ini.

Boleh jadi banyak orang tidak perasan atau tidak begitu peduli kerana Mustapa telah membuat kenyataan yang serupa dalam beberapa PRU sebelum ini tetapi gagal merampas balik negeri itu.

Hanya mereka yang mengetahui latar belakang kepada kenyataan Mustapa itu sahaja akan menyedari keberanian tiba-tiba beliau itu.

Apa latar belakangnya?

Jawabnya ialah pendirian presiden Umno berkaitan Kelantan. Beliau dikhabarkan telah membuat keputusan “menyerahkan” Kelantan kepada PAS sebagai sebahagian daripada rancangan kerjasama pilihan raya Umno-PAS.

Dikhabarkan lagi, keputusan itu dibuat secara bersendirian tanpa berunding dengan kepemimpinan Umno Kelantan kecuali sekerat dua yang intim dengan beliau. Ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati para pemimpin Umno Kelantan yang lain, termasuk Mustapa.

Itulah konon ceritanya.

Sumbar bukan Umno dan bukan PAS tetapi rapat dengan Mustapa berkata, beliau tekad untuk membantah tindakan unilateral Najib itu dan ini dilakukannya dengan meminta bantuan putera politik Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Najib tidak boleh kata “no” kepada Ku Li sama ada kerana hormat kepada mentornya itu atau mengakui bahawa dalam Umno Ku Li masih ada sedikit kuasa untuk “eye-balling” (jege) beliau.

Jadi suka tidak suka, Najib dikatakan terpaksa berunding dengan Ku Li dan Mustapa di rumah Ku Li, di Jalan Langgak Golf off Jalan Tun Abdul Razak.

Berbalik kepada apa yang disifatkan sebagai perjanjian rahsia Najib-PAS itu, beliau dikatakan telah bersetuju untuk tidak cuba merampas Kelantan daripada PAS. Sebaliknya bersedia memberi laluan mudah supaya PAS menang 40 kerusi Dewan Rakyat.

Apakah ini benar?

Banyak orang mungkin cenderung mempercayai teori ini memandangkan keakraban Najib dengan teman sehati sejiwanya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Tujuan Najib adalah menjadikan PAS “kaki kacau” kerana beliau lebih takut kepada Pakatan Harapan (HARAPAN), khususnya BERSATU daripada kepada PAS. Najib tahu PAS lemah selepas penyingkiran golongan bukan agama dan penubuhan parti Amanah.

Kita lihat bagaimana Umno dan PAS telah masuk gear empat menakut-nakutkan orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda bahawa jika PH menang DAP akan kuasai kerajaan.

Tetapi mereka tidaklah hebahkan yang DAP hanya bertanding 37 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Yang penting bagi Umno dan PAS ialah pembohongan mereka itu dipercayai oleh orang Melayu.

Dalam pemikiran mereka, orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda boleh diperbodohkan. Inilah “Islam” PAS dan wassatiyah Umno iaitu berbohong dan memperbodohkan rakyat jelata..

Manakala Mustapa amat yakin Umno boleh tawan Kelantan, Najib pula dikatakan telah mengarahkan kajian yang penemuannya menjurus ke arah kegagalan Umno merampas balik negeri itu.

Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa wujud satu bentuk persefahaman sulit di antara Najib dan PAS yang tidak diketahui oleh kepemimpinan Umno tetapi diketahui dan disokong sebulat suara oleh beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang “terhutang budi” kepada Presiden Umno itu.

Musuh Najib sudah jadi musuh PAS

Sebab itulah mereka begitu lantang menyerang Dr Mahathir dan HARAPAN. Musuh Najib sudah menjadi musuh mereka.

Apa yang Dr Mahathir serang seperti skandal 1MDB, GST, skandal Felda/FGV, penjualan aset negara, skandal Tabung Haji dan banyak lagi semuanya dipertahankan oleh PAS seolah-olah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah halal di sisi Islam yang PAS amalkan.

Tetapi saya rasa pemimpin PAS yang celik hukum amat bimbang dengan perjalanan kes saman Abdul Hadi terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di mahkamah London. Kes itu mungkin menjadi senjata makan tuan.

Bagi Najib pula, masalah beliau di Amerika menjadi semakin rumit walaupun telah berjumpa Presiden Donald Trump dan menjanjikan berbilion ringgit pelaburan dan import bagi memperkukuhkan ekonomi Amerika.

Pada 20 Disember lalu, Trump telah menandatangani Perintah Eksekutif (Exacutive Order) 13818 yang bertujuan menyekat pergerakan harta orang-orang yang terlibat dengan pelanggaran serius hak asasi manusia dan rasuah.

Perintah itu mengisytiharkan darurat kebangsaan bersabit pelanggaran serius hak asasi manusia dan rasuah di seluruh pelosok dunia.

Ia memperuntukkan sekatan ke atas pelaku-pelaku perbuatan hina ini dan sekali gus memberi kuasa kepada Jabatan Kewangan Amerika (US Treasury) membekukan harta orang-orang yang melakukan pelanggaran serius hak asasi manusia dan yang terlibat dengan rasuah.

Kesimpulannya, sebarang percubaan unilateral oleh Najib untuk berpakat dengan PAS atau dengan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS yang termakan budi dengan beliau pasti mencetuskan masalah.

Ketua-ketua Umno dan PAS yang tidak dibawa berunding pasti tidak puas hati kerana perang Umno-PAS selama ini adalah sumber kuasa dan pendapatan bagi mereka.

Penggiat serta penyokong akar umbi ke dua-dua buah parti yang bermusuhan begitu lama dan mendapat habuan daripadanya juga tentu tidak akan berdamai dan berpeluk-pelukan secara spontan macam Najib dan Abdul Hadi berpegangan tangan dan berganding bahu.


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini pertama kali dimuat naik di blog beliau dengan tajuk 'Tok Pa berontak terhadap Najib?' Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS