Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA puji Patriot kerana pertahan bukan Melayu
Diterbitkan:  Jan 15, 2018 2:45 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Pemimpin MCA memuji kenyataan pemimpin veteran tentera yang mempertahankan sejarah penyertaan bukan Melayu dalam pasukan keselamatan negara.

"Kita bernasib baik kerana mempunyai veteran seperti Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) kerana mengetahui dan menceritakan kebenaran, dan juga dengan jelas menunjukkan bahawa perjuangan menentang komunisme melibatkan semua kaum, bukan hanya orang Melayu.

"Begitu juga, komunisme adalah ideologi yang dianuti oleh semua kaum, bukan hanya bukan Melayu," kata jurucakap publisiti MCA dan pengerusi biro keharmonian agama parti itu, Ti Lian Ker dalam satu kenyataan hari ini.

"Malaysia memiliki kepelbagaian kaum. Oleh itu, bagi mana-mana individu yang menonjolkan kumpulan etnik tertentu bertentangan dengan yang lain dalam isu ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan pengkhianatan terhadap sejarah Malaya," kata jurucakap publisiti MCA Ti Lian Ker dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, presiden NGO veteran tentera itu Mohamed Arshad Raji membidas pengerusi NGO Ummah, Ismail Mina Ahmad berhubung ucapannya pada Sabtu lalu yang mendakwa hanya orang Melayu berjuang melawan komunis.

Selain itu, Ismail juga dilapor mengatakan hanya kaum Melayu berperang melawan pihak British dan Jepun.

Ismail juga memberitahu orang bukan Melayu supaya meninggalkan negara ini sekiranya mereka tidak bersetuju dengan perlembagaan tanpa menyatakan peruntukan yang dimaksudkan.

Mohamed Arshad berkata dakwaan Ismail mengenai sejarah negara adalah salah dan menyeru kerajaan mengeluarkan kenyataan bagi memperbetulkan pandangan tersebut.

Ti menyokong pandangan Mohamed Arshad yang menyatakan terdapat bukti jelas menunjukkan kaum bukan Melayu juga patriotik kerana berjuang dan mempertahankan negara.

Namun katanya, jasa mereka dilupakan atau diabaikan oleh sesetengah pihak.

"Tahniah kepada Patriot kerana menegakkan kebenaran dan membetulkan pendapat palsu dan pandangan memecah belah yang digambarkan oleh pengerusi Ummah.

"Ummah dalam mengingatkan sejarah mesti mengemukakan sejarah berdasarkan fakta dan bukan prasangka peribadi. Kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti ini merugikan perpaduan negara," katanya.

Lihat Komen
ADS