Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasat ahli politik ganggu wartawan wanita
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 11:09 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Ahli politik yang melakukan gangguan seksual ke atas wartawan perlu disiasat polis, kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini.

Menurut Zuraida berdasarkan laporan media mengenai kejadian itu semalam wujud elemen salah guna kuasa oleh individu terbabit.

"Gangguan seksual haruslah dipandang serius dan sekiranya bersalah, mesti dihukum sewajarnya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang memegang jawatan tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan petikan gangguan dialami wartawan wanita dengan salah seorang daripadanya melibatkan sentuhan fizikal.

Hanya mahu dikenali sebagai Ally, wartawan terbabit mendakwa godaan dihadapinya bukan saja datang daripada ahli politik kerajaan malah melibatkan pembangkang.

Laporan Asian Corresponden itu juga memetik pengalaman wartawan The Malaysian Insight, Diyana Ibrahim, yang menerima mesej daripada seorang anggota parlimen pada lewat atau awal pagi untuk bertanya sama ada dirinya mempunyai teman lelaki atau tidak.

Diyana mengaku tidak selesa dengan soalan-soalan berkenaan kerana perbualan mereka bertukar daripada hal-hal profesional menjadi peribadi.

Kata Zuraida laporan Asian Correspondent mesti dipandang serius oleh pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Keterangan daripada dua wartawan wanita ini merupakan langkah positif bagi membasmi gejala gangguan seksual dan kami menyeru sesiapa sahaja yang mengalami situasi yang sama untuk tampil ke hadapan.

"Jika masih lagi terdapat kes-kes seperti ini, kami mengalu-alukan mereka untuk berjumpa dengan kami dan sekiranya boleh kami akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka," katanya.

Zuraida juga menawarkan bantuan kepada pihak yang ingin berkongsi masalah sama dengan menghantar e-mel kepada [email protected].

Pada masa sama Anggota Parlimen Ampang juga menjelaskan perlindungan untuk wanita yang berhadapan dengan gangguan seksual ketika ini amat terhad dan hanya meliputi Akta Kerja (Akta A1419) dan Kod Amalan Untuk Mencegah Dan Membasmi. Gangguan Seksual Di Tempat Kerja oleh Kementerian Sumber Manusia.

Katanya peruntukan Seksyen 509 Kanun Keseksaan tidak merangkumi gangguan seksual kerana ia hanya merujuk kepada “mengaibkan kehormatan seseorang” sebagai jenayah yang membolehkan pelaku untuk mendapat hukuman penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

"Sebagai seorang anggota parlimen, saya akan mengusulkan agar rang undang-undang gangguan seksual dibawa ke sidang Dewan Rakyat dan akan berusaha agar rang undang-undang ini akan diluluskan," katanya.

Lihat Komen
ADS