Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin sudah pun jadi kuli, kata bos JASA
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 12:02 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi memperlekehkan kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sanggup menjadi 'tukang kuli' demi kepentingan rakyat dan menyelamatkan negara daripada kepimpinan Umno dan BN.

Bekas timbalan perdana menteri itu pada 10 Januari lalu, berkata, beliau tidak bimbang sekiranya tidak diberikan apa-apa jawatan sekalipun dalam parti ataupun selepas menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Malah, kata bekas ahli parlimen Batu Pahat itu, sebenarnya Muhyiddin sudah pun menjadi kuli.

“Ibarat orang yang makan cili, maka dialah yang terasa pedasnya. Dan memang akan terus dikulikan oleh Tun M (Dr Mahathir Mohamad) dan yang lain lain.

“Sebagai presiden parti, namanya terpinggir. Jangankan perdana menteri sementara, timbalan perdana menteri sementara pun tidak tersenarai,” kata Mohd Puad dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau merujuk kepada Konvensyen HARAPAN pada awal bulan ini yang mengisytiharkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai timbalannya jika mereka menumbangkan BN pada PRU-14.

Mengulas lanjut, ketua jabatan propaganda kerajaan itu berkata, semasa bersama Umno, Muhyiddin dijanjikan jawatan perdana menteri jika konspirasi mereka berjaya.

“Di Milan, Itali, Muhyiddin menunggu tindakan selanjutnya. Semua ternanti nanti sidang media beliau. Tetapi Muhyiddin tidak berani mengistiharkan supaya Najib meletak jawatan atau membuat peralihan kuasa seperti yang beliau lakukan terhadap Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

“Di situlah konspirasi dalaman mereka mula runtuh. Balik Malaysia, Muhyiddin menjadi defensif dan terpaksa keluar parti kerana mengikut skrip Mahathir. Dan kini Muhyiddin seperti dicucuk hidung. Ikut sahaja kemahuan Mahathir.

“Sebab itu bila dia kata dia kuli, ia mesti datang dari hatinya sendiri yang terasa sudah dikulikan,” kata Mohd Puad.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut mendakwa Muhyiddin kini tersepit apabila semua kajian termasuk oleh Merdeka Centre melaporkan beliau akan kalah di kerusi Parlomen Pagoh.

“Perlukah dia mencari tempat selamat di luar Pagoh? Sebagai anak jantan dia perlu kekal bertanding di Pagoh.

“Apa yang berlaku kepada Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU adalah gambaran sebenar bahawa Mahathir berkeupayaan untuk kembali menjadi diktator. Ia adalah bebanan baru kepada HARAPAN,” katanya.

Lihat Komen
ADS