Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjelajah ke seluruh negara mulai Februari ini.

Mahathir berkata siri jelajahnya ke setiap negeri, akan berlangsung setiap minggu.

“Kita ada 14 minggu sahaja kalau kita anggap bahawa pilihan raya umum (akan diadakan) bulan Mei,” kata bekas perdana menteri itu pada sidang akhbar di Petaling Jaya petang ini.

Siri jelajah itu turut akan menyaksikan pemimpin tertinggi HARAPAN turun ke padang dan berceramah selain sesi beramah mesra dengan pengundi, dengan tujuan menjelaskan dasar gabungan pembangkang, dan menangkis tohmah daripada parti pemerintah.

Walaupun siri jelajah itu akan menggunakan logo dan bendera HARAPAN, sama ada lambang gabungan itu boleh digunakan pada pilihan raya akan datang masih tidak jelas.

Mahathir berkata mereka masih belum mendapat khabar dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan mereka untuk menjadi gabungan rasmi.

“Mereka kata secara lisan ada masalah dengan BERSATU, dengan DAP. Kita cuba betulkan tapi sampai sekarang tidak ada jawapan apa pun,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri, yang bertanggungjawab terhadap ROS, memaklumkan kepada gabungan parti pembangkang itu pada November lalu bahawa permohonan mereka telah ditangguhkan berikutan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif DAP, dan BERSATU tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka.

Kedua-dua parti terbabit telah menyelesaikan masalah tersebut.

Mahathir berkata HARAPAN tidak boleh menunggu ROS, memandangkan kempen mengambil masa.

Ditanya sama ada mereka akan mempertimbangkangkan untuk bertanding di bawah logo salah satu daripadaparti gabungan itu, Mahathir berkata ini belum dibincangkan.

Lihat Komen
ADS