Kerajaan digesa agar mengambil tindakan serta mengubah etika pemakaian pramugari syarikat penerbangan di negara ini yang didakwa 'terlalu seksi'.
Menurut Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Omar Kassim, kerajaan juga perlu memberi garis panduan terhadap pakaian pramugari milik syarikat penerbangan tempatan.
Omar berkata demikian sebagai mengulas isu surat yang didakwa ditulis oleh seorang wanita dari New Zealand yang menegur pakaian pramugari sebuah syarikat penerbangan Malaysia yang seksi, seperti dilapor Ismaweb.net.
“Ini sangat mengecewakan, padahal mereka (pramugari) mewakili syarikat negara yang beribu pejabat di Malaysia.
“Masyarakat Malaysia yang majoritinya Muslim tidak berpakaian sedemikian (sehingga menampakkan buah dada dan seluar dalam seperti yang ditulis dalam surat) amat keterlaluan.
“Tindakan perlu dilakukan, dengan mengubah etika pemakaian syarikat penerbangan ini. Kerajaan perlu mengambil tindakan, memberikan garis panduan lebih jelas kepada syarikat," katanya yang dipetik dalam laporan berkenaan.
Baju bahagian atas terbuka
Sehubungan itu, Omar turut menasihatkan agar wanita khususnya muslimah supaya tidak rasa malu untuk menutup aurat dan memelihara maruah diri.
"Jangan malu dan segan untuk menutup aurat dan mengenakan pakaian muslimah.
“Ramai di luar sana, masyarakat luar termasuk yang bukan beragama Islam mengagumi. Peliharalah maruah diri. Berpakaian menjolok mata akan menghilangkan rasa malu terhadap manusia dan terhadap Allah,” katanya lagi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negara, Senator Datuk Hanafi Mamat memberitahu beliau menerima sepucuk surat daripada seorang wanita warga New Zealand yang melahirkan rasa 'jijik'berhubung pakaian seragam pramugari sebuah syarikat penerbangan negara.
Kata Hanafi, Dr June Robertson menyatakan beliau menulis surat tersebut sebagai respon kepada gesaannya di dalam Dewan Negara supaya pakaian menutup aurat dikuatkuasakan ke atas semua pramugari terbabit.
"Pada Oktober 2017, beliau telah menaiki penerbangan dari Auckland ke Kuala Lumpur, seorang pramugari yang sedang memberikan layanan di kelas bisnes membiarkan bajunya di bahagian atas terbuka, beliau meminta wanita tersebut memakai jaket kerana dia sedang tunduk ke arah mereka," kata ketua Umno Pasir Mas itu.
Katanya lagi, Robertson memberitahu syarikat penerbangan Eropah tidak memakai skirt yang singkat seperti sebuah syarikat penerbangan negara ini.
Malaysiakini cuba untuk mendapatkan komen daripada syarikat penerbangan yang didakwa, bagaimanapun tidak berjaya.
