Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bursa Indonesia runtuh, pensyarah sangka serangan bom
Diterbitkan:  Jan 18, 2018 5:58 AM
Dikemaskini: Jan 18, 2018 3:23 AM

“Kami menyangkakan bunyi kuat itu adalah kerana serangan bom pengganas.”

Demikian ungkap pensyarah Management & Science University (MSU) Nur Lalua Rashidah Mohd Rahsiad ketika menceritakan detik cemas berdepan kejadian runtuhan yang berlaku di Bursa Efek Indonesia (BEI) di Jakarta, Indonesia pada Isnin lalu.

Katanya pelbagai tanggapan buruk terlintas di fikirannya ketika kekecohan tersebut yang berlaku selepas tingkat mezanin bangunan berkenaan runtuh.

Beliau antara 22 anggota delegasi Malaysia daripada MSU yang mewakili negara ke Cabaran Saham ASEAN CIMB 2.0 yang diadakan di BEI apabila insiden itu berlaku.

“Alhamdulillah, sangkaan kami tidak benar dan walaupun insiden runtuh itu berlaku hanya kira-kira 50 meter dari tempat acara dilangsungkan kesemua wakil dari Malaysia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL malam tadi.

Menurutnya sejurus kejadian, situasi di BEI menjadi kelam-kabut dengan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri selain jeritan mangsa yang cedera dan keadaan kawasan bangunan yang diselubungi debu selepas kejadian.

“Kami menjadi panik dan saya mengarahkan kesemua ahli kami untuk berkumpul di satu tempat sebelum pegawai CIMB membawa kami keluar ke bangunan berdekatan,” katanya.

Tingkat mezanin Menara II BEI di Jalan Jenderal Sudirman, Senayan, bahagian tengah Jakarta, runtuh pada waktu rehat urus niaga tengah hari Isnin dan menyebabkan berpuluh pekerja serta orang awam cedera.

Menurut laporan media, sekumpulan pelajar universiti dari Sumatera yang melakukan lawatan sambil belajar ke bangunan bursa saham itu adalah antara mereka yang cedera.

“Kita juga bernasib baik kerana terlepas daripada kejadian tersebut apabila permohonan kami untuk melakukan lawatan yang sama seperti pelajar dari Sumatera itu ditolak pihak BEI atas alasan kekangan waktu, “ katanya.

Beliau berkata MSU akan mengadakan sesi kaunseling untuk semua pelajar dan pensyarah yang terlibat bagi mengelakkan mereka mengalami trauma.

MSU yang pertama kali mewakili negara ke Cabaran Saham ASEAN CIMB 2.0 berjaya meraih tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,500.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS