Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tanah Felda macam cerita kartun, kata AMANAH
Diterbitkan:  Jan 18, 2018 12:04 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Ditegaskan isunya sudah selesai dan tidak melibatkan sebarang kos Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mempertikaikan kesahihan kenyataan tersebut.

Biro Undang-undang (KANUN) AMANAH berpendapat dalam sebarang transaksi hartanah akan ada kos yang terlibat.

Paling tidak kata Timbalan Pengerusi KANUN, Wan Anwar Wan Ibrahim, melibatkan kos duti setem, pendaftaran pindah milik dan guaman.

Dengan itu katanya pemulangan hak milik tanah di Jalan Semarak daripada Synergy Promenade Sdn Bhd kepada Felda sepatutnya melibatkan kos.

Dengan anggaran nilai tanah itu ialah RM270 juta, kata Wan Anwar, jumlah duti setem ad valorem (duti yang dikenakan mengikut nilai barang) adalah lebih RM8 juta.

"Kos guaman pula boleh mencecah RM1 berdasarkan skala fi yang ditetapkan Majlis Peguam Malaysia," katanya.

Justeru kata Wan Anwar (gambar) dengan kenyataan dibuat Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad pada 15 Jan lalu bahawa pemulangan hak milik tanah itu tidak melibatkan kos menimbulkan persoalan.

Kata Wan Anwar, KANUN ingin tahu siapakah yang menanggung kos duti setem dan guaman terbabit.

Jika Shahrir bercakap benar dengan mengatakan tiada kos terlibat, katanya, satu-satunya cara untuk membolehkan ia berlaku ialah dengan mendapat pengecualian duti setem daripada menteri kewangan.

Untuk rekod menteri kewangan ialah Datuk Seri Najib Razak, manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertindak sebagai menteri kewangan kedua.

Felda dikecuali, rakyat kena GST

"KANUN menggesa supaya Shahrir mendedahkan sama ada menteri kewangan telah memberikan pengecualian duti setem tersebut?

"Apakah asas pengecualian duti setem tersebut diberikan - jika benar menteri kewangan memberikan pengecualian tersebut?" kata Wan Anwar.

Menurunya jika wujud pengecualian itu menteri terbabit tidak bertindak adil terhadap rakyat.

Ketika Felda dikecualikan duti setem RM8 juta, kata Wan Anwar, rakyat terus dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Menteri kewangan tidak sepatutnya memberikan pengecualian duti setem kepada kecuaian pengurusan Felda, malah sepatutnya mengenakan surcaj atas kecuaian itu," katanya.

KANUN juga kata Wan Anwar menggesa tindakan undang-undang dan disiplin mesti dikenakan terhadap pegawai yang cuai sehingga menyebabkan pemindahan tanah terbabit berlaku sebelum ini.

Sementara itu Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata isu tanah Felda itu tidak ubah seperti sebuah cerita kartun atau temberang.

Mesti ada unsur humor

Selain cara isu pemilikam tanah itu ditangani seperti watak animasi yang mati tetapi boleh hidup semula, cara pihak berkuasa mengambil keterangan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad juga sukar diterima akal.

Antaranya, kata Hanipa, mengapa Isa menjadi individu yang terakhir diambil keterangannya ketika beliau sebelum ini turut dikaitkan dengan siasatan kes lain.

"Ya, beliau akhirnya dipanggil juga. Isunya bukan dia dipanggil juga akhirnya, tapi kenapa dia boleh tak dipanggil lebih awal dari itu dalam keadaan dia ada dalam negara. Itulah kartunnya," kata peguam terbabit.

Lebih "kartun" kata Hanipa ialah pemulangan tanah di Jalan Semarak itu tanpa melibatkan kos.

"Mengikut undang-undang transaksi yang dubious (meragukan) itu perlu mendapat persetujuan menteri yang jaga Felda (Najib) tetapi Shahrir kata beliau tak terlibat.

"Meskipun dikatakan beliau tak terlibat, itu bukan bermakna dia tak perlu bertanggungjawab.

"Apabila melibatkan kuasa dia untuk meluluskan (termasuk kuasa untk tidak meluluskanlah) isu dia terlibat atau tidak - bagi saya - sudah dah tak relevan," katanya.

Sama ada terbabit memberi kelulusan atau tidak menurut Hanipa, Najib tetap bertanggungjawab. Jika ia tidak disedari, katanya, bagaimana pemilikan tanah itu boleh berpindah.

"Awat (kenapa) dia tak tahu? Dia buat apa selama ni?" katanya.

Secara berjenaka Hanipa juga menyatakan orang ramai mungkin tidak akan terkejut jika Najib memanggil polis untuk mendapatkan keterangan walaupun logiknya polis yang perlu memanggil perdana menteri.

"Ini kan cerita kartun, mesti ada unsur humor!" katanya.

Lihat Komen
ADS