Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan empat konsortium telah mengemukakan tender siap guna bersama-sama pembiayaan bagi kontrak MRT Laluan Lingkaran selepas penyerahan tender ditutup semalam.
Dalam kenyataan hari ini, MRT Corp berkata, tiga daripada empat penyerahan tender itu adalah daripada konsortium syarikat-syarikat Malaysia.
Pengarah Projek Laluan Lingkaran MRT Corp, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan baik terhadap tender siap guna bagi Laluan Lingkaran.
“Sebahagian besar daripada penender adalah konsortium tempatan yang dapat memenuhi syarat untuk menyertai tender ini.
“Penyertaan untuk tender itu, yang bermula 15 Nov, 2017, membuktikan kritikan yang dilontarkan oleh beberapa pihak adalah tidak tepat sama sekali, terutama kepada mereka yang telah mengatakan bahawa model turnkey (siap guna) akan menutup peluang syarikat tempatan menyertai tender itu,” katanya dalam kenyataan.
Empat penender itu ialah Sapura-TIEC Consortium; usaha sama MMC-Gamuda-George Kent; Pacific-Mudajaya-JEC Consortium; dan usaha sama China Communications Construction Company Ltd-China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd.
Penilaian akan dibuat oleh MRT Corp berdasarkan Tender Penilaian Terbaik berasaskan tiga kriteria penilaian utama iaitu teknikal, status kewangan dan pakej pembiayaan, kemudiannya cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk mendapat keputusan dan kelulusan, menurut MRT Corp.
MRT Corp berkata, kontrak tersebut dijangka diberikan pada suku pertama 2018.
Zohari berkata, dengan menggunakan model tender siap guna, MRT Corp mempunyai pilihan terbaik untuk pembiayaan projek, kerana pihaknya akan cuba mendapatkan kos paling rendah untuk pembiayaan projek tersebut.
“Bagaimanapun sekiranya pilihan pakej pembiayaan tidak memuaskan, kami akan kembali kepada struktur pembiayaan lama iaitu melalui DanaInfra,” katanya.
MRT Corp berkata, ia telah mengambil langkah untuk membuka tender dengan berasaskan siap guna, berbanding melantik sebuah kontraktor atau konsortium secara langsung, kerana ini akan menggalakkanpilihan pembiayaan yang lebih kompetitif untuk struktur projek baharu.
Dalam memastikan penyertaan syarikat tempatan dalam projek ini, MRT Corp akan menetapkan keperluan untuk penyertaan syarikat Malaysia dan bumiputera sebagai satu syarat kontrak siap guna, dengan mekanisme ketat akan dirangka bertujuan memastikan syarat ini dipatuhi penender yang berjaya.
Zohari berkata, MRT Corp akan memastikan agenda bumiputera akan diteruskan bagi Laluan Lingkaran seperti yang dilakukan bagi laluan MRT pertama dan kedua, iaitu MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Tarikh tutup penyerahan tender pada asalnya ditetapkan 29 Dis, 2017 namun ia dilanjutkan sehingga 18 Jan, 2018 memandangkan MRT Corp telah menerima permintaan untuk lanjutan tempoh oleh peserta tender kerana mereka memerlukan masa lebih panjang untuk memuktamadkan cadangan pembiayaan.
Susulan penutupan penyerahan tender, MRT Corp akan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk persiapan bagi Kajian Unjuran Penumpang Terperinci, Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci, Penilaian Kesan Sosial dan Penilaian Kesan Warisan.
MRT Laluan Lingkaran dijangka sepanjang 40 kilometer dengan anggaran 32 kilometer berada di bawah tanah serta 26 stesen dirancang sepanjang jajaran.
Laluan itu, yang akan melalui sekitar pinggir bandar raya Kuala Lumpur dan akan bersilang dengan semua rangkaian rel bandar di Lembah Klang, akan memperluaskan liputan dengan ketara dan memberikan mobiliti yang lebih besar kepada penumpang.
- Bernama
