Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
China: Kapal tangki tenggelam mungkin akibatkan banyak tumpahan minyak
Diterbitkan:  Jan 20, 2018 11:10 AM
Dikemaskini: 4:21 AM

GLOBAL Sebuah kapal tangki minyak Iran yang terbakar dan tenggelam, mungkin mengakibatkan  tumpahan minyak bunker yang banyak di luar pantai timur China, kata para pegawai pada hari Jumaat.

Kapal itu  terbakar sebelum tenggelam selepas merempuh kapal CF Crystal pada 6 Jan di pantai China.

Semua krewnya yang terdiri daripada 30 warga Iran dan dua warga Bangladesh dipercayai maut. Ia dianggap sebagai bencana kapal minyak terburuk di dunia dalam beberapa dekad.

Minyak  bunker adalah minyak berat yang digunakan dalam enjin kapal dan sukar dibersihkan dari laut apabila tertumpah, tidak seperti bahan api kondensat - bentuk minyak yang sangat ringan - yang dibawa pada masa perlanggaran itu berlaku.

Tidak jelas berapa banyak minyak bunker yang yang ada ketika ia tenggelam pada hari Ahad selepas terbakar selama beberapa hari tetapi para pakar menganggarkan ia mungkin membawa kira-kira 1,000 tan pada masa berlaku perlanggaran.

"Terdapat banyak tumpahan minyak pelbagai saiz dan jenis di tempat ia tenggelam dan sekitarnya... dengan tumpahan seluas melebihi 200 kilometer persegi pada hari Khamis," Huo Chuanlin, dari pihak pentadbiran Laut Jabatan Perlindungan Ekologi, memberitahu pemberita.

Ia tidak jelas ke mana tumpahan minyak itu dihanyutkan atau sejauh mana kesan akibat tumpahan itu.

Angin yang kuat telah menghanyutkannya dari pantai China, di mana perlanggaran itu berlaku, dan hanyut ke zon ekonomi eksklusif Jepun.

Huo berkata tiada tumpahan minyak dikesan berhampiran pantai, walaupun sukar untuk meramalkan impaknya kepada kehidupan laut.

SOA pada hari Khamis melaporkan tiga tumpahan minyak merangkumi kawasan gabungan hanya 20.7 km persegi.

Para pegawai berkata pada hari Jumaat bahawa kapal itu membawa 111,300 ton minyak kondensat sebelum nahas itu berlaku. Kebanyakan bahan api itu tersejat selepas kapal itu terbakar.

Pasukan pakar antarabangsa dari China, Iran, Hong Kong dan negara-negara kru akan menganalisis rakaman data pelayarannya, sebuah peranti yang memantau perjalanan kapal, untuk menentukan punca perlanggaran itu, katanya.

Walaupun Sanchi adalah kapal Iran, tetapi ia telah didaftarkan di bawah bendera Panamania, satu amalan biasa kerana kepentingan strategik terusan negara Amerika Tengah itu. Lebih 8,000 kapal mendaftar di Panama.

Fernando Solorzano, ketua bahagian Perdagangan Marin Panama memberitahu Reuters bahawa tidak ada tanda-tanda awal kapal tersebut melanggar sebarang protokol keselamatan. Namun, katanya, siasatan boleh mengambil masa beberapa bulan atau beberapa tahun untuk siap.

Solorzano berkata semua kapal yang belayar di bawah bendera negaranya terpaksa mematuhi keperluan yang ketat. Dia mengakui kejadian itu boleh menjejaskan imej pendaftaran kerana ia selama ini mempunyai kadar insiden yang rendah. [Baca berita penuh]

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS