Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Adakah Zamihan Tuhan boleh tahu siapa mati dulu?'
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 10:05 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menyelar kenyataan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'kasar'.

Sabtu lalu, dalam wawancara bersama Watan Online, Zamihan berkata 'orang tua bangka' dan hampir mati seperti Mahathir sepatutnya membuat amal jariah untuk akhirat dan bukan memikirkan tentang politik.

Sehubungan itu, Khairuddin berkata, Zamihan bukan Tuhan yang boleh menentukan siapa yang akan mati terlebih dahulu.

"Apa Zamihan Mat Zin ingat dengan melilit serban di kepala, dia warak dan maksum? Dia ingat dirinya itu Tuhan boleh tahu siapa yang nak meninggal dunia dulu?

"Adakah Zamihan Mat Zin ingat orang muda boleh hidup lama dan yang tua akan meninggal dunia dulu?

"Untuk pengetahuan Zamihan Mat Zin, Allah SWT masih pinjamkan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kita semua mungkin secara bersebab," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam wawancara berkenaan, Zamihan turut menasihatkan bekas perdana menteri berkenaan agar bertaubat ekoran pelbagai perkara yang dilakukan semasa menjadi pemimpin negara.

"Bagi saya, orang tua yang sudah berkuasa lebih 22 tahun sepatutnya masuk pondok, mengaji kitab, zikir banyak-banyak, bertaubat mohon maaf kepada manusia atas kesilapan yang lalu.

"Buat amal jariah yang banyak untuk akhirat. Sepatutnya tak payah fikir politik kalau sudah tua bangka, nak dekat mati ini," kata Zamihan yang dipetik sebagai berkata menerusi video yang dikongsi di Youtube Watan Online.

Justeru, Khairuddin yang juga merupakan bekas anggota Umno meminta agar Zamihan muhasabah diri sebelum menghukum orang lain.

"Secara jujur dan ikhlas saya ingin nasihatkan Zamihan Mat Zin untuk muhasabah diri dan kemungkinan biarlah dia saja yang duduk berzikir pegang tasbih 24 jam tanpa berusaha untuk menjaminkan kesejahteraan penghidupan ummah serta keseluruhan rakyat di negara kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS