Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki serang wanita tak bertudung ditahan polis

Lelaki yang disyaki menyerang wanita kerana tidak bertudung di sebuah perhentian bas di Pulau Pinang, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, polis menahan suspek di Jalan Taman Perwira, Bukit Tengah, pada jam 11.30 malam tadi.

"Selepas soal siasat, suspek mengaku dia menolak wanita itu kerana marah melihatnya tidak memakai tudung.

"Wanita itu kemudian memarahi suspek dan berkata dia gila," katanya dalam kenyataan.

Suspek yang berusia 30 tahun dibawa ke Hospital Bukit Mertajam pada jam dua pagi untuk pemeriksaan kesihatan, katanya lagi.

Rakaman insiden itu tular di media sosial, sehingga dilaporkan banyak media termasuk the Daily Mail di United Kingdom.

Semalam, polis Seberang Perai Tengah dilaporkan sedang memburu suspek itu selepas mangsa membuat laporan.

Mangsa, seorang pekerja kilang berusia 24 tahun berkata insiden berlaku pada 6 Januari lalu, ketika dia bersama kakaknya sedang menunggu bas.

Menurut Bernama, mangsa berkata suspek yang "dipercayai kurang siuman" mendekatinya dan bertanya ingin pergi kemana.

Selepas menjawab yang dia ingin bertemu kawannya, suspek tiba-tiba memarahinya kerana tidak memakai tudung dan menolak kepalanya sebelum dihalang kakaknya, katanya lagi.

Sementara itu, ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang Syerleena Abdul Rashid yang membuat laporan pada Jumaat lalu memuji polis atas penahanan itu.

"Saya merasa lega apabila wanita dalam video itu akhirnya membuat laporan dan polis telah menahan lelaki yang terlibat," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, penahanan itu menghantar isyarat bahawa masyarakat tidak akan bertolak ansur dengan gangguan seksual dan aksi pencabulan lain.

"Rakyat perlu faham yang setiap daripada kita boleh berbuat sesuatu untuk menghalang diskrimasi daripada berlaku," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS