Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Inkuiri Suhakam diteruskan tanpa kes kehilangan paderi Koh

Inkuiri awam yang dijalankan Suhakam berhubung kehilangan beberapa aktivis diteruskan pagi ini selepas suruhanjaya itu mengumumkan minggu lalu bahawa ia menangguhkan siasatan terhadap kehilangan paderi Raymond Koh.

Pendengaran yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi ini menumpukan kes kehilangan Amri Che Mat, pengasas organisasi bukan berasaskan keuntungan Perlis Hope, yang hilang selepas didakwa diculik pada 26 November 2016.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin muncul sebagai saksi pertama hari ini dan saksi lain turut dijadualkan memberi keterangan selepas itu.

Pendengaran dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai dan bersama beliau ialah pesuruhjaya Datuk Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Suhakam menjalakan siasatan sama ada kehilangan Amri adalah 'kehilangan paksa atau tidak disengajakan' seperti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

ICPPED mentakrifkan kehilangan paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau apa-apa bentuk kehilangan kebebasan disebabkan oleh ejen-ejen negara atau oleh orang, atau kumpulan, yang bertindak dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara.

Instrumen ini telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006. Malaysia bagaimanapun bukan penandatangan ICPPED.

Suhakam juga menyiasat kehilangan Koh dan paderi Joshua Hilmy serta isterinya Ruth Sitepu di bawah terma rujukan yang sama sejak 19 Oktober tahun lepas.

Bagaimanapun, ketika pendengaran saksi mengenai kehilangan Koh dijalankan, polis mendakwa bekas pemandu Uber, Lam Chang Nam, 31, pada 16 Januari lalu sebagai suspek yang telah menculik Koh.

Perkembangan ini memaksa Suhakam menggantung siasatannya terhadap kehilangan Koh dan memanggil saksi baru untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Amri, mulai hari ini.

Ini kerana Seksyen 12 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 menghalang Suhakam daripada menyiasat kes yang merupakan sebahagian daripada prosiding mahkamah atau yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Keluarga Koh menyatakan rasa terkejut terhadap pertuduhan baru terhadap Lam dan mempersoalkan sama ada ia bertujuan mengganggu siasatan Suhakam.

Kumpulan Citizen Action Group On Enforced Disappearance (Caged) juga mempersoalkan sama ada Lam hanya menjadi kambing hitam, dengan mengatakan bahawa seorang pegawai polis pernah memberi keterangan kepada Suhakam bahawa Lam tidak ada kaitan dengan kehilangan Koh.

Lam, pada Mac tahun lalu, didakwa kerana cuba mendapatkan wang tebusan sebanyak RM30,000 daripada keluarga Koh dengan mendakwa bahawa dia boleh melepaskan paderi itu.

 

Lihat Komen
ADS