Malaysiakini BERITA

Lampu hijau untuk 'pekebun ketum' tak lama lagi?

Rahmat Haron

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Setelah perbahasan bertahun-tahun, pekebun kecil mungkin boleh mengusahakan tanaman ketum secara komersial untuk dieksport tidak lama lagi.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perbincangannya dengan pihak berkaitan sudah sampai ke peringkat akhir dan cadangan itu dijangka dapat direalisasikan lagi “sebulan dua”.

Zahidi berkata Risda telah berbincang dengan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), polis bahagian narkotik dan Kementerian Kesihatan.

"Kami juga akan adakan pertemuan dalam satu atau dua bulan ini, kita akan adakan perbincangan dengan anggota parlimen dan senator Dewan Negara.

"Kerajaan akan kutip cukai siapa yang tanam.

"Contohnya, pendaftaran atau cukai bagi setiap ekar kita ambil RM150 dan nilai keuntungan ketum itu kita bagi kepada agensi dadah (berkaitan) untuk membuat tangkapan dan kawalan," kata beliau yang menambah cadangan itu sudah di peringkat akhir pelaksanaannya.

"Kita akan buat jawatankuasa khas.

"Dah peringkat akhir iaitu di peringkat pengeluaran lesen oleh Pusat Racun Negara dan jika tidak ada halangan kita hanya tunggu mungkin dalam sebulan, dua ini," kata beliau.

'Tak perlu perubahan akta'

Dalam wawancara khas berkaitan isu ketum dengan Malaysiakini minggu lepas, Zahidi berkata kelulusan penanaman ketum tidak memerlukan perubahan akta di parlimen.

"Kelulusan daripada Pusat Racun Negara sahaja.

"Kalau kerajaan benarkan kita akan dapat lebih kurang nilai eksport RM10 juta sebulan dan ini melibatkan cukai yang kerajaan kutip, pendapatan orang kampung," katanya.

Zahidi berkata Risda mengambil kira manfaat perubatan dan ekonomi daripada penanaman ketum tetapi menolak penyalahgunaan tumbuhan itu.

Anggota parlimen Padang Besar itu juga berkata telah wujud permintaan ketum untuk digunakan sebagai dadah gantian heroin dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Malah, katanya, pihak luar juga terlibat dalam kajian bersama yang diterajui oleh Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah menelan belanja jutaan ringgit.

"Sumber kewangan bukan kerajaan Malaysia. Tetapi gaji mereka semua (penyelidik universiti) kerajaan Malaysia bagi.

“Cumanya (dana) tambahan untuk membuat kajian ini dari Universiti Florida, Amerika Syarikat, kalau tak silap saya, dan yang terlibat itu adalah pakar dadah antarabangsa," katanya.

Kalimantan sudah kaya-raya

Sementara itu, Zahidi berkata Risda berharap penanaman ketum secara komersial itu bakal membantu menambah pendapatan pekebun kecil yang berhadapan masalah kos sara hidup ketika harga getah jatuh.

"Kita ada bantuan one-off RM500 kepada pekebun kecil ini (sewaktu harga getah jatuh) yang melibatkan peruntukan sejumlah RM137 juta, duit Risda.

"Sekurang-kurangnya daripada RM500 dapatlah tambahan (bantuan pekebun kecil getah) ke RM1,000 sebulan," katanya.

Di negeri jiran seperti Indonesia, katanya, pihak terlibat dalam penanaman ketum telah pun membantu mereka keluar dari garis kemiskinan.

"Sekarang ini nilai eksport yang kita dapat tahu daripada Kalimantan adalah lebih kurang RM5 juta sebulan dan mereka yang terlibat pun dah jadi kaya-raya," katanya.

Memetik kajian Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Universiti Sains Malaysia (CDR), Zahidi berkata ketum-ketum di bahagian utara tanah air – dari Perak sampai ke Perlis – dikenal pasti berkualiti tinggi dan boleh dijual dengan harga yang mahal.

"Ini yang terbaik dan ada 17 spesis yang terbaik.

"Dan ini membuatkan Amerika Syarikat nak beli...” katanya.

'Labur semula untung untuk bendung salah guna'

Mengulas isu penyalahgunaan ketum, Zahidi mencadangkan keuntungan hasil eksport ketum boleh dilaburkan semula untuk mengawal penyalahgunaan di negara ini.

"Mekanisme itu dah ada.

"Contohnya kalau orang itu ditangkap kita akan buat pemulihan kepada mereka dengan memberikan motivasi, memberikan peluang yang ada kepada mereka kerana mereka ini aset negara.

"Kita juga akan buat kursus yang melibatkan NGO tentang masa depan mereka kerana tidak ada guna kita tangkap dan penjarakan mereka tetapi adalah lebih baik untuk kita beri semangat kepada mereka," katanya.

Menurut Zahidi lagi, sistem yang dicadangkan beliau itu bukan sesuatu yang mustahil jika penanaman ketum mendapat kelulusan kerajaan.

"Kita akan buat lebih daripada itu dengan peruntukan kewangan yang akan kita sediakan daripada hasil keuntungan jualan ketum itu nanti," katanya.


Zahidi diwawancara oleh Jimadie Shah Othman, Rahmat Haron dan Shakira Buang.