Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak perlu belajar kejuruteraan jika nak jual nasi lemak'
Diterbitkan:  Jan 24, 2018 1:24 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membangkitkan soal graduan bidang profesional yang "terpaksa" membuat kerja rencam seperti menjual nasi lemak.

Bekas perdana menteri itu berkata, jika seseorang itu memang ingin mencari pendapatan dengan cara itu, tiada keperluan untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang seperti kejuruteraan.

"Jika kita membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk melatih orang yang akhirnya (terpaksa) menjual nasi lemak, ia satu pembaziran.

"Jika mereka betul-betul mahu jual nasi lemak, tidak perlu kita jadikannya sebagai jurutera," katanya dalam siaran langsung "Policy Talk" di Facebook.

Sesi minggu ini menumpukan perhatian kepada soal Melayu dan bumiputera.

Katanya lagi, mereka yang berpandangan keadaan itu adalah perkara yang baik tidak memahami masalah sosioekonomi yang melanda negara.

Kenyataan Mahathir berhubung graduan yang menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber dan seumpamanya mengundang kritikan kerana dianggap tidak sensitif kepada mereka yang memang memilih kerjaya itu.

Namun, beliau menegaskan yang ia adalah simptom yang membuktikan kurangnya peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Sementara itu, beliau turut membangkitkan semula pandangannya yang turut mengundang kritikan, iaitu orang Melayu ketinggalan kerana kelemahan sendiri.

"Kita (orang Melayu) ada kemampuan tetapi malangnya tidak berusaha. Kita tidak letak penguasaan ilmu dan kesungguhan bekerja di tempat yang tinggi.

"Sebab itu kita ketinggalan," katanya lagi.

Langkah menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan bertujuan untuk menarik undi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Lihat Komen
ADS