Paling Popular
Terkini
story images
story images

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak semua pihak memboikot hotel antarabangsa di negara ini yang melarang pekerjanya memakai tudung.

Ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata tindakan itu perlu bagi memberi tekanan kepada pihak terbabit supaya mengubah prosedur operasi piawai (SOP) dan membenarkan pekerja beragama Islam memakai tudung.

“Tak payah pergi hotel sebegini untuk nyatakan kekecewaan hotel tak beretika kerana tak membenarkan pekerja bertudung," katanya.

Mesej yang mahu disampaikan daripada seruan itu, kata Nadzim, bukan berkaitan dengan perkauman, sebaliknya ia melibatkan amalan diskriminasi.

Katanya larangan itu juga melanggar hak orang Islam yang termaktub dalam perlembagaan.

Nadzim (gambar) berkata demikian pada sidang media bersama Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (Wafiq) di Kuala Lumpur hari ini.

Nadzim turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menarik balik sijil halal yang dikeluarkan kepada pihak hotel jika pengurusnnya didapati melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

“Kita mengharapkan Jakim menarik balik sijil halal mana-mana hotel yang kurang ajar," katanya.

MB jangan diam

Dengan langkah itu katanya, PPIM mahu melihat sejauh mana hotel terbabit mampu meneruskan operasi dan bersaing dalam pasaran semasa.

“Kita nak tengok sejauh mana mereka nak berniaga.

"Di Kelantan boleh (pakai tudung) tapi disini tak boleh. Kita tak nak orang ambil kesempatan selepas ada sijil halal,” katanya.

Sementara itu Presiden Uni-MLC Datuk Mohamed Shafie Mammal menggesa Kementerian Sumber Manusia agar tidak berdiam diri berhubung isu itu.

Justeru beliau menggesa Kementerian Sumber Manusia mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa dua minggu bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Kementerian tidak boleh terus senyap dan hanya bercakap di surat khabar sahaja. Jumpa kita buat mesyuarat tergempar dan jangan hantar orang bawahan, menteri sendiri kena jumpa kita,” katanya.

Mohamed turut menggesa menteri-menteri besar dan mufti di seluruh negara juga memberi amaran keras terhadap hotel-hotel yang menindas pekerja-pekerja wanita Muslim.

“Menteri besar ni kita minta campur tangan juga, mereka pun berkuasa. Jangan diam,” ujarnya.

Lihat Komen
ADS