Paling Popular
Terkini
story images
story images

Buah durian yang kebiasaannya dijual di tepi-tepi jalan pastinya menarik perhatian sesiapa saja yang melihatnya terutama bagi penggemar raja buah itu.

Namun harganya yang melambung tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengundang keluhan sehingga timbul cakap-cakap mengatakan ia kini sudah menjadi santapan golongan berada.

Malah sebelum ini terdapat netizen melancarkan kempen di media sosial untuk memboikot membeli durian dengan harapan harganya kembali murah dan boleh dinikmati seperti dahulu.

Antara faktor yang dikatakan menjadi punca harganya mahal adalah permintaan tinggi dari luar negara, terutama dari China.

Malaysiakini baru-baru ini berkesempatan membuat tinjauan bagi meninjau harga durian yang dijual di pasaran tempatan dan mengetahui reaksi di kalangan peniaga dan pembeli sendiri.

Menerusi tinjauan, purata harga buah tersebut yang ditimbang secara kilo dijual antara RM7 hingga RM40 sekilogram, bergantung kepada kualiti, gred dan baka.

Di Hulu Langat dan Taman Oug, Jalan Klang Lama, harga durian kampung dijual antara RM7 hingga RM15 sekilogram, manakala durian yang dicantum dua baka (kahwin) dijual pada harga RM19 sekilogram.

Durian D24 pula berharga RM25 manakala Musang King dijual RM40 sekilogram.

Ketika ditanya mengenai harganya yang kekal mahal, rata-rata peraih dan penjaja berkata punca utama adalah permintaan tinggi ketika bekalan berkurangan.

Dijual terus kepada kilang

Bagi peraih yang hanya mahu dikenali sebagai Ujang, 38 berkata pekebun menjual durian terus kepada kilang-kilang berasaskan durian menyebabkan mereka sukar mendapatkan bekalan.

"Harga mahal disebabkan bekalan yang dapat dari pekebun memang mahal. Jadi kita terpaksa ikut harga pekebun, macam mana nak jual murah.

“Sekarang durian banyak masuk kilang, kilang durian dah banyak. Durian kampung ni banyak kilang dah ambil, kalau murah, kilang akan sapu (borong) untuk buat kek, aiskrim. Kalau peniaga tak beli semua kilang sapu.

“Kalau ia (kilang) ambil RM9 sekilo kita kena ambil ikut harga itu, jika tidak tak dapat buah, sebab itu harganya tinggi. Peraih lain pun kena ikut kehendak pekebun, bukan kita,” katanya.

Pendapatan berkurang

Bagi peraih Nofrian Chandra yang berniaga di Taman Oug, Klang Lama pula mengakui pendapatan berkurangan kerana penaman durian menjual dengan harga yang tinggi.

“Pendapatan terjejas juga bila harga durian naik macam ini.

"Pelanggan kurang datang ke kedai saya dan kalau harganya murah macam dulu mungkin keuntungan saya akan bertambah.

"Kalau dulu saya untung RM700 hingga 800 sehari, sekarang lebih rendah daripada dulu,” luahnya.

Pemuda berusia 31 tahun itu bagaimanapun berharap harga durian akan kembali kepada harga yang lebih berpatutan supaya penggemarnya dapat menikmati buah berkenaan seperti dahulu.

RM100 untuk beli durian saja

Sementara itu, bagi pelanggan Zuraidi Wazir berkata beliau tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa membeli durian walaupun harganya mahal.

Malah katanya, dengan berbelanja RM100 untuk durian jenis kampung, keluarganya hanya ‘dapat merasa sahaja’ berbanding dahulu dapat menikmati buah berkenaan sehingga kenyang.

“Mahal setahun dua ini, dulu tak macam ini. Dulu tak ada sampai RM100 kos untuk beli durian.

"Anak-anak puas hati dapat makan sampai kenyang. Masa buah (dijual secara) longgok RM10 sahaja. Sekarang sekurang-kurangnya RM100 untuk empat orang, itu pun jenis makan tak puas cuma dapat rasa,” katanya.

'Harga tak masuk akal'

Bagi pelanggan Najwa Muhammad pula menganggap durian kini seolah-olah menjadi ‘makanan untuk orang kaya sahaja’.

"Sekarang mahal sampai tak masuk akal harganya, dulu beli longgok sekarang timbang kilo, durian dah jadi macam makanan orang kaya,” katanya.

Di samping itu kata Najwa terdapat peniaga mengambil kesempatan menipu timbangan untuk meraih keuntungan berlipat kai ganda.

Justeru katanya kerajaan wajar menetapkan harga bagi setiap jenis gred durian supaya penjual tidak sewenang-wenangnya menipu pelanggan.

"Bila kerajaan tetapkan harga, sekurang-kurangnya walaupun mahal pelanggan tak kena tipu,” katanya.

Buah rosak

Bagi pegawai awam yang hanya mahu dikenali sebagai Sarimah pula berkata peniaga perlu jujur dalam berniaga di samping kerajaan memainkan peranan untuk mengawal harga buah berkenaan.

“Kena ada kejujuran peniaga, orang tengah dan kerajaan dalam menentukan harga durian,” katanya.

Selain harganya yang tinggi dan berlaku penipuan, isu lain yang dihadapi pengguna ialah buah yang kurang berkualiti atau pun telah rosak.

Jelasnya dalam memastikan durian dibeli dalam keadaan baik, kebiasaannya beliau akan makan di gerai yang menjualnya bagi mengelakkan terbeli buah yang sudah rosak.

“Biasanya saya buka dan makan di situ, kalau kita tak puas hati terus tukar sahaja. Saya tak bawa baliklah.

"Sekarang durian dah mahal. Kalau saya buka buah di rumah dan tiba-tiba rosak, saya dah rugi,” katanya.

Esok: Temubual bersama Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Lihat Komen
ADS