Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pua lwn Najib: Mahkamah Tinggi salah, kata Gobind

Peguam Gobind Singh Deo hari ini berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf kerana memberikan injunksi interim inter parte terhadap anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkaitan saman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadapnya.

Mahkamah Tinggi pada 12 April tahun lalu memberikan injunksi ex parte kepada Najib yang menyaman fitnah Pua selepas membuat siaran langsung Facebook berkaitan isu 1MDB.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab kemudian membenarkan perintah injunksi interim inter parte pada 4 Ogos tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Jais sebelum ini membenarkannya injunksi ex-parte ketika saman itu difailkan oleh Najib, April lalu.

Gobind memberitahu panel tiga hakim diketuai Abang Iskandar Abang Hashim bahawa Pua dalam pembelaannya berkata mempunyai alasan dengan membuat Facebook Live dengan mendakwa pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Undang-undang) 1965 (Akta 355) di parlimen April lalu bertujuan mengalihkan perhatian terhadap Najib dan skandal 1MDB.

Gobind berkata Najib tidak memberikan jawapan terhadap dakwaan A$20 juta atau AS$681 juta yang dikatakan diterimanya, yang Pua dalam pembelaannya menyeranikan secara terperinci akaun dan tansaksi yang tidak disangkal.

Gobind berkata hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zaki Abdul Wahab memulangkan beban pembuktian dan menggunakan prinsip yang salah dengan membenarkan injunksi inter parte terhadap Facebook Live.

“Apabila Pua berkata terdapat pakatan antara Umno, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan speaker Dewan Rakyat dalam pembentangan pindaan Akta 355 dengan memberikan maklumat terperinci dalam pembelanya, tidak banyak maklum balas daripada Najib.

“Oleh itu, berdasarkan pembelaan Pua, injunksi ex parte terhadap Facebook Live posting patut ditarik balik dan bukan inter parte dibenarkan.

“Plaintif (Najib) patut menunjukkan dakwaan beliau menerima wang tidak benar dan pakatan itu juga tidajk benar apabila injunksi inter parte dibuat,” kata peguam DAP yang juga anggota parlimen Puchong.

Gobind juga membangkitkan sesi parlimen ketika dipengerusikan oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan ketika Akta 355 diperkenalkan untuk kali kedua.

Beliau memetik Pandikar sebagai berkata: "[..] “Seorang kawan saya dari Sabah kata jika kamu ada kuasa kamu patut guna dan jika kamu tidak guna, itu menunjukkan kamu bodoh."

Kenapa, soal Gobind, Pandikar perlu mengeluarkan kata-kata itu.

“Justeru itu, jelas terdapat penyalaharahan oleh hakim Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan (untuk menarik balik injunksi interim),” kata peguam itu.

Bagaimanapun, peguam Najib, Mohd Hafarizam Harun memberitahu mahkamah bahawa perdana menteri sudah dibersihkan daripada kesemua dakwaan menerima wang 1MDB.

Katanya, SPRM sudah menjelaskan bahawa wang RM2.6 bilion itu adalah derma daripada Timur Tengah dan peguam negara telah membersihkan anak guamnya daripada salah laku dalam sidang media pada 26 Januari 2016.

“Dalam siasatan mendalam dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang dwipartisan telah membersihkan nama anak guam saya. Saya minta mahkamah memberi perhatian terhadap ketiga-tiga fakta ini kerana kesemua fakta-fakta ini boleh dikira bawah Akta Keterangan,” kata Hafarizam.

Peguam itu berkata dapatan PAC berkaitan 1MDB juga telah dibentangkan kepada anggota parlimen.

Hafarizam berkata anggota parlimen bebas memperkenalkan rang undang-undang persendirian dan speaker mempunyai kuasa untuk membenarkannya dibentang dengan PM atau pihak eksekutif tidak campur tangan dalam keputusan itu.

“Ini kuasa prerogatif dan kuasa Dewan Rakyat sahaja,” katanya.

Hafarizam juga berkata hakim membuat keputusan yang betul dengan membenarkan injunksi itu kepada sesi Facebook Live itu ditonton lebih sejuta kali dan mempunyai pengikut seramai 250,000 orang.

“Pendedahan besar itu menyebabkan kesan buruk yang tak dapat dipulihkan terhadap responden (Najib),” dakwa Hafarizam.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS