Paling Popular
Terkini

ULASAN l Hari ini, jika masih ada lagi polis-polis moral yang ingin menghukum wanita-wanita berpakaian seksi, tangkaplah mereka dan minta mereka baca penulisan ini.

Saban hari, kita telah diperlihatkan dengan pelbagai siri kejijikan kaum lelaki. Daripada yang merogol anak sendiri, hinggalah wanita yang dicabul golongan beragama. Bapa merogol anak kandung sendiri. Bapa merogol kakak dan adik berganti-ganti.

Lelaki cabul kanak-kanak wanita dan dirakam lalu dimuat naik ke media sosial. Serta kisah seorang penjaga rumah anak yatim yang mencabul enam kanak-kanak yang mengharapkan perlindungan daripadanya.

Beritahulah kepada saya, dalam semua kes ini, siapakah yang berpakaian seksi dan terdedah sana-sini? Adakah ada mangsa yang keluar dari rumah pada pukul 3 pagi mencari hiburan diri?

Atau mangsa-mangsa ini yang bersifat menggoda terhadap naluri lelaki? Bagitahulah kepada saya, bahawa ini adalah salah perempuan, wanita, kanak-kanak dan ibu yang terlalu patuh pada suami. Beritahu kepada saya!

Tidak ada satu pun perkara di atas yang boleh dijadikan satu titik kesalahan kepada mangsa-mangsa yang telah dicabul, dirogol dan dijadikan hamba pemuas nafsu seorang lelaki. Ini setakat yang dilapor.

Yang di luar sana? Yang masih lagi belum melapor? Yang takut dilapor kerana diugut, malu dan sayang kepada darah daging mereka? Kehidupan apa yang sedang mereka lalui kini?

Dan ketika semua ini sedang berlaku, lelaki masih lagi membuat bunyi tidak senonoh kepada
perempuan bila mereka lalu di hadapan lelaki.

Lelaki masih bermain teka-teki saiz buah dada wanita yang terselak sikit daripada tudung mereka, dan lelaki berfantasi hingga ada yang berani meminta dan memujuk rayu untuk melihat gambar-gambar peribadi kesayangan mereka yang belum tentu akan jadi isteri.

Tetapi lelaki-lelaki sentiasa tidak akan disalahkan. Ia telah menjadi norma dalam kehidupan
masyarakat. Ia ditanam dalam diri setiap orang dengan frasa-frasa “alah, normallah lelaki,” “siapa suruh perempuan melayan,” dan banyak lagi.

Oleh hal yang demikianlah, maka salah satu alasan yang keluar daripada ibu mangsa yang dirogol anaknya oleh bapanya sendiri ialah, “Biarlah dia dirogol oleh orang yang dikenalinya daripada dirogol orang yang tak dikenali diluar sana”

Jadi masihkah lagi kita hendak mempertahankan lelaki dalam isu kebejatan moral yang berpunca
daripada makhluk yang diamanahkan untuk menjaga wanita ini?

Sedarlah bahawa kita sebenarnya telah gagal mendidik warga-warga lelaki di Malaysia untuk menahan diri dari melakukan perbuatan yang tidak bermoral ini.

Kita berperang tentang isu tudung, bigo live dan pakaian seksi lebih banyak berbanding berkata tentang masalah lelaki yang tidak dapat mengawal nafsu sendiri.

Lelaki perlu diajar dan dihukum lebih keras dan setimpal serta perlu dijadikan sasaran oleh polis-polis moral terlebih dahulu sebelum mengecam wanita-wanita. Rogol tetap rogol dan rogol sentiasa bermula daripada lelaki.

Tidak ada wanita yang sesuka hati hendak dirogol dan pakaian seksi bukanlah tiket untuk lelaki merogol dan mencabul wanita sesuka hati.

Sukar untuk digambarkan kekecewaan terhadap lelaki apabila perkara ini langsung tidak mendapat simpati khasnya daripada kaum lelaki sendiri.

Kegagalan sebegini nayatalah mengundang lelaki untuk terus menerus melakukan perbuatan yang keji. Berubahlah dan bertaubatlah. Sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka kepada mereka yang menyesali perbuatan mereka.

Jadilah lelaki yang hebat. Lelaki yang hebat bukanlah lelaki yang mengangkat tangan dan menampar perempuan yang tidak menutup aurat. Lelaki yang hebat adalah lelaki yang melihat aurat dan mengangkat mukanya untuk mengalihkan pandangan.

Kita mampu mengalih gunung, menambak laut, jadi kita juga perlu menjadi mampu untuk mengalihkan nafsu dan menutup niat jahat terhadap kaum yang memerlukan perlindungan.

Mungkin sebaris doa yang perlu kita baca setiap hari selepas ini adalah “anugerahkanlah Malaysia, lelaki-lelaki yang baik, beriman, pelindung, mampu menjaga kehormatan diri, dan mampu juga menjaga kehormatan wanita-wanita di negara ini.

Semoga negara ini dirahmati.


ISHAK SAIROZI adalah seorang lelaki yang tak baik, tapi tak jahat sangat.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS